Adi Putra

Biarpun bukan berasal dari Malaysia, ia tidak sedikit pun menjadi penghalang buat aktor, Adi Putra mencipta nama dan meletakkan profilnya sebaris dengan pelakon Malaysia sedia ada.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan, peminat seakan lupa bahawa jejaka ini sebenarnya berasal dari Singapura dan sudah berjaya dalam industri seni di Malaysia.

Mempunyai daya penarik dan personaliti tersendiri, Adi Putra dilihat cukup selesa mencipta nama sejak mula bertapak dalam bidang lakonan sekitar tahun 2002.

Biarpun sudah mendirikan rumah tangga, nyata pelakon berkulit hitam manis ini masih mempunyai aura. Adi membuktikan status yang disandangnya tidak pernah menyekat rezekinya untuk terus bergiat aktif sebagai seorang pelakon.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Adi Putra yang turut tercalon bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dan Pelakon Drama Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular tahun 2011 kini sibuk menjalani penggambaran filem KL Gangster 2 bersama aktor tampan, Aaron Aziz.

Menurutnya, dia bersyukur kerana filem KL Gangster yang ditayangkan tahun lalu memberikan impak besar kepadanya sepanjang bergelar pelakon.

“Alhamdulillah, filem ini telah berjaya menaikkan nama saya menerusi watak Jai. Kepercayaan dan peluang yang diberikan pengarah, Syamsul Yusof untuk menjayakan filem ini memberikan ruang kepada saya untuk memberikan kelainan dalam setiap watak yang dibawa,” katanya.

Melihatkan kepada penampilan barunya yang berambut perang mungkin ramai yang terkejut kerana Adi tidak pernah mewarnakan rambutnya seperti itu sebelum ini.

Ditanya kepada empunya diri mengenai perkara itu, Adi berkata, apa yang dilakukan hanyalah kerana kariernya semata-mata.

“KL Gangster 2 memerlukan saya kelihatan sebegini dan mungkin dengan penampilan ini akan menyerlahkan lagi watak Jai nanti. Saya harap ia mampu memberikan kelainan yang lebih dramatik,” akuinya.


Cenderung watak romantis

Selain KL Gangster, kemunculan Adi menerusi drama bersiri romantis Tentang Dhia bersama aktres comel, Nora Danish turut meninggalkan kesan mendalam kepada peminat seni tanah air.

Menerusi watak Zikir, dia dilihat berjaya mewujudkan satu lagi fenomena baru dalam kalangan peminat wanita di negara ini.

Jauh berbeza dengan lakonan dalam KL Gangster, watak romantik dalam drama itu turut meletakkan dia sebagai salah seorang pelakon lelaki yang diminati masa kini.

Jelas Adi, dia berasa lebih serasi menjadi lelaki romantis kerana yakin watak seumpama itu mampu dijiwai dengan baik.

“Saya bersyukur kerana menerima banyak tawaran lakonan bagi menjayakan beberapa filem bertemakan romantis pada tahun ini.

“Tidak salah rasanya kalau saya katakan, saya suka membawa watak berunsur cinta. Tetapi ia tidak bermakna saya menolak untuk membawakan watak lain.

“Cuma saya cenderung melakonkan watak sebegini kerana cinta mempunyai maksud yang luas dan pelbagai,” kata pencipta lagu tema Tentang Dhia yang bertajuk Dhia ini.


Hero tua?

Perkembangan industri seni semakin yang rancak turut melahirkan ramai pendatang baru dalam bidang ini dan rata-ratanya berusia di awal 20-an. Kebanjiran pelakon baru dalam industri seni bagaimanapun bukanlah halangan kepada artis senior seperti Adi menjadi pilihan pengarah serta penerbit bagi membintangi drama dan filem tempatan.

Ditanya adakah kehadiran pelakon-pelakon baru ini akan menenggelamkan pelakon lama sepertinya, Adi yang sudah mencecah usia 32 tahun berkata, dia tidak bimbang kerana ia bukanlah faktor utama pelakon sepertinya tidak mendapat perhatian.

“Saya tidak takut dipanggil hero tua kerana percaya setiap peluang dan tawaran yang diterima bersandarkan bakat yang ada dalam diri saya.

“Misalnya, aktor popular Bollywood Shah Rukh Khan masih mendapat tempat dalam industri seni di sana, walaupun sudah berumur.

“Saya akui bermula agak lewat dalam industri ini tetapi ia tidak mematahkan semangat untuk membuktikan saya mampu bertahan dan memberikan yang terbaik,” katanya.