Sunday, February 12, 2012

Astrid penyanyi kafe




ASALNYA penyanyi dengan nama berdaftar Astrid Sartiasari ini hanyalah penyanyi di restoran. Menjual bakat dan keyakinan diri di lantai yang lebih kecil dunianya. Kemudian tuahnya beralih apabila disunting Sony Music Indonesia setelah memenangi kategori Vokal Terbaik dalam Festival Band SMA Surabaya.

Dia kemudian menjadi pilihan untuk muncul menyumbangkan suara dalam album runut bunyi filem Tusuk Jelangkung (2003) dengan lagu Ratu Cahaya dan diberikan kesempatan kembali dalam album runut bunyi filem Vina Bilang Cinta dengan lagu Di Dadaku Ada Kamu dan Cinta.

Dua tahun kemudian, impiannya menerbitkan sebuah album solo menjadi kenyataan. Astrid muncul dengan album yang berjudul Astrid (2005) dan mempertaruhkan lagu Cinta Itu yang menjadi lagu tema bagi filem Mirror.

Mungkin wajah ini agak baharu untuk para peminat di Malaysia. Malah nama Astrid juga belum mesra disebut berserta dengan lagu-lagunya.

Sebagai langkah pengenalan, Astrid yang dahulunya sinonim dengan imej misteri dan gotik, kini muncul dengan jiwa dan penampilan baharu. Lebih segar dan ceria, itu imej yang dipertaruhkan seiring dengan album baharu yang diberi judul Lihat Aku Sekarang.

Tampil penuh kewanitaan, penyanyi yang lahir pada 27 Januari 1982 ini memperlihatkan kepada khalayak tentang perubahan positif yang menerjah dirinya.

"Album ini dibuat dengan konsep yang berbeza. Lebih feminin, matang dan penuh warna. Hati saya jadi berdebar kerana hayat perjalanan album pertama dan sekarang ini cukup panjang. Namun saya optimis bahawa album baharu saya boleh diterima," ujarnya yang mempertaruhkan single pertama yang berjudul Tentang Rasa.

Album yang bakal diedarkan Universal Music Malaysia dalam masa terdekat ini bertujuan untuk mempromosikan album.

Single pertama Astrid merupakan sebuah lagu balada yang bercerita tentang rasa ingin mengasihi dan perasaan mahu bersama. Malah lagu ini merangkul kejayaan sebagai penerima khidmat muat turun tertinggi selain menjuarai carta radio di seluruh Indonesia.

Single kedua Astrid bertajuk Tak Ingin Dicintai memaparkan kisah wanita yang enggan dicintai jika tidak sepenuh hati.

"Lebih baik ditinggalkan jika dicintai separuh hati. Kita harus mencari seseorang yang benar-benar menyayangi kita dengan bersungguh-sungguh," ujar Astrid tentang single keduanya.

Astrid telah pun menamatkan zaman solonya pada November tahun lalu apabila mengahwini jejaka bernama Arlan Jumarwan Djoewarsa.

Malah pada hari pernikahannya, Astrid mengaku tidak mahu bertangguh dalam hal zuriat. Kedua-dua pasangan ini sempat bercanda tentang program membikin anak usai resepsi pernikahan mereka yang dilakukan di Hotel JW Marriott, Jakarta.

"Wah, kita tidak tunda-tunda. Habis resepsi ini kita langsung masuk ke bilik untuk program buat anak," canda mereka gembira.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: