KESIBUKAN menjalani rutin harian menyebabkan ramai yang kurang berpeluang dan mempunyai masa untuk berinteraksi. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang pesat secara tidak langsung menyebabkan komunikasi bersemuka merosot secara drastik. Apatah lagi, dewasa ini orang ramai lebih gemar berkomunikasi melalui pelbagai peranti seperti telefon bimbit, telefon pintar, e-mel, mesej teks dan sebagainya.
Di rumah pula, sesetengah ibu bapa menjadikan alasan kesibukan bekerja menyebabkan interaksi bersama anak-anak menjadi begitu terhad. Justeru, sesuatu perlu dilakukan bagi meningkatkan interaksi antara golongan kanak-kanak dan dewasa. Jurang komunikasi ini mungkin dapat diatasi dengan medium digital.
Sebagai contoh, kajian menunjukkan permainan digital popular dunia, Angry Birds, mampu bertindak sebagai medium bagi komunikasi antara golongan kanak-kanak dan dewasa.
Dibangunkan oleh Rovio, sebuah syarikat permainan digital dari Finland, permainan yang sangat diminati ini mengembangkan sayapnya ke pasaran tempatan dan menambat hati masyarakat tempatan.
Sekitar 120 juta orang dari seluruh dunia bermain permainan ini setiap bulan.
Seorang pekerja sambilan Tanjong Golden Village (TGV) Cinemas di Wangsa Walk Nurul Ain, 18, berkata, beliau diperkenalkan kepada permainan Angry Birds oleh anak saudara lelaki dan perempuannya awal tahun ini.
Sejak itu dia gemar bermain permainan itu di telefon bimbitnya.
“Saya bertemu dengan kawan-kawan dan berkongsi strategi dengan mereka untuk mengutip mata tertinggi, yang secara tidak langsung mengeratkan persahabatan kami,” katanya.
Permainan Angry Birds dibuat khusus bagi semua peranti skrin sesentuh dengan para pemain menyelaraskan ketegangan dan arah satu mekanisme seumpama lastik dan menembak burung-burung untuk memusnahkan pihak musuh.
Pelbagai kajian mendedahkan manfaat interaksi seperti ini mendapati adanya peningkatan dalam aktiviti fizikal, kognitif dan sosial yang boleh menambahbaik kesihatan dan pendidikan golongan dewasa dan kanak-kanak.
Roznah, 37, berkata, beliau meluangkan masa berkualiti bersama anak lelaki dan anak-anak perempuannya dengan bermain permainan itu bersama mereka.
Seronok dan positif
“Ia sejenis permainan yang menarik kerana menguji kebijaksanaan pemain dalam merumus strategi untuk memusnahkan musuh.
“Kami sebenarnya merumus satu pelan untuk melepaskan diri untuk menamatkan permainan,” katanya ketika ditemui.
Buat masa ini, tiga versi permainan itu termasuklah Angry Birds, kedua Angry Birds Rio yang menggunakan watak daripada filem animasi Rio, terbitan Blue Sky Studios dan ketiga, Angry Birds Seasons yang membawa pemain-pemain menyusuri pelbagai sambutan dunia.
Kajian menunjukkan bermain Angry Birds menawarkan pengalaman positif dan menyeronokkan bagi golongan dewasa dan membantu meningkatkan keyakinan diri.
Sementara itu, Wan Nadiah Fazira Wan Marzuki, 16, berkata, memandangkan Angry Birds menjadi perhatian kanak-kanak, ibu bapa membelikan pelbagai jenis alat mainan Angry Birds untuk anak-anak mereka.
“Kanak-kanak akan datang dan meminta ibu bapa membelikan mereka alat mainan Angry Birds,” kata jurujual sementara aksesori telefon bimbit ini. Bagaimanapun, orang dewasa membeli alat mainan ini untuk koleksi peribadi mereka.
Walaupun Angry Bird hanya sekadar permainan digital, ia mampu mengeratkan hubungan dalam kalangan pemain yang datang daripada keluarga yang sama.
Sementara itu, para peminat permainan digital ini pasti menantikan evolusi Angry Birds ini muncul dalam bentuk filem animasi pula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: