Saturday, February 18, 2012

Meneroka kota-kota metropolis AS


STATUE of Liberty antara lokasi wajib menjadi persinggahan pelancong saat berada di NYC.


SIAPA yang tidak kenal New York City, kota yang terkenal sebagai pusat perdagangan dan pelaburan terbesar dunia. Mempunyai keluasan 1,214 kilometer persegi, New York City atau sering dirujuk (NYC) merupakan ibu negeri bagi negeri New York.

Daripada aktiviti hiburan di pentas teater Broadway atau syurga membeli-belah di Fifth Avenue, NYC juga sarat dengan pelbagai tarikan pelancongan yang terkenal.

Keterujaan untuk menyaksikan sisi kota itu dengan lebih dekat menyebabkan saya terbang ke Amerika Syarikat (AS) sekitar Oktober tahun lalu selepas kali pertama berbuat demikian pada tahun 2008.

Bezanya, dahulu saya datang untuk bekerja bagi menjayakan World Championship of Performing Arts 2008, kini saya mahu berehat sambil bercuti sepuas-puasnya.

Saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa JFK pada 5 Oktober tahun lalu selepas menempuh penerbangan selama 22 jam dari Kuala Lumpur.

Seperti dijanjikan, Anisa, ejen pelancongan yang sentiasa murah dengan senyuman telah sedia menunggu saya dan beberapa pelancong lain yang baru tiba.

Cuaca di AS agak dingin dan kering. Saya diberitahu ia merupakan senario biasa ketika musim luruh di sana.

Selepas menjamu selera, rombongan kemudiannya dibawa ke hotel penginapan yang terletak di New Jersey.

"Hari ini berehatlah sepuas-puasnya di bilik. Besok pagi baru kita akan melawat sekitar New York City," kata Anisa.

Keesokannya, pengembaraan saya dimulakan dengan melawat Statue of Liberty yang merupakan mercu tanda terkenal di AS.

Monumen di Kota New York

Menurut Anisa, patung berbentuk wanita berjubah sambil memegang obor dan buku itu dikenali sebagai Libertas, dewi kebebasan Rom.

Katanya, ia merupakan hadiah kerajaan Perancis kepada rakyat AS sempena Pengisytiharan Deklarasi Kemerdekaan negara itu.

Seterusnya, rombongan kemudiannya dibawa ke Wall Street. Menjangkau dari Broadway sehingga ke Manhattan ia merupakan pusat kewangan yang paling sibuk dan terkenal di dunia.

Bagaimanapun, sebaik tiba saya dikejutkan dengan kehadiran ribuan orang ramai yang berkumpul di atas jalan raya sambil membawa sepanduk.

Rupa-rupanya, mereka sedang berpiket secara aman sebagai tanda protes berikutan krisis ekonomi yang semakin meruncing di AS.

Saya difahamkan, krisis yang berlaku menyebabkan banyak syarikat kerugian atau 'gulung tikar' malah, kadar pengangguran juga semakin meningkat.

Tidak hairanlah di sekeliling kota itu dipenuhi manusia yang hidup bergelandangan.

"Bersyukurlah, di Malaysia tidak berlaku semua ini," rintih saya di dalam hati.

Perasaan sayu hilang seketika sebaik sahaja rombongan mula bergerak ke beberapa destinasi pelancongan utama. Antaranya, Central Park, Bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Rockfeller Centre dan Fifth Avenue.

Saya juga sempat melawat Empire State Building yang terletak di persimpangan Fifth Avenue dan West 34th Street. Bangunan pencakar langit setinggi 381 meter itu merupakan antara ikon utama di New York.

Dibina pada tahun 1931, ia pernah diiktiraf sebagai bangunan tertinggi di dunia selama lebih 40 tahun.

Dengan bayaran sekitar AS$43 (RM130), pengunjung berpeluang melihat pemandangan New York dari puncaknya.

Lawatan diteruskan dengan melawat Ground Zero, lokasi Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang runtuh akibat diserang pengganas pada 11 September 2001.

Namun selepas hampir sedekad, kawasan itu sudah berubah wajah. Tiada lagi kesan runtuhan, sebaliknya hanya memorial dibina bagi memperingati mangsa-mangsa yang terkorban.

Sekitarnya pula rancak dengan kerja-kerja pembinaan lima bangunan pencakar langit termasuk One World Trade Center yang bakal menjadi salah satu bangunan tertinggi di dunia sebaik siap pada tahun hadapan.

Rombongan kemudiannya dibawa ke lokasi terakhir iaitu di Madame Tussauds Wax Museum. Menariknya di sini, pengunjung berpeluang bergambar bersama selebriti, pemimpin politik dan ahli sukan terkenal dari seluruh dunia.


SESIAPA sahaja pasti kagum melihat wajah-wajah presiden AS di Mount Rushmore National Memorial.


Antara yang menjadi perhatian dan sering menjadi tumpuan lensa kamera ialah patung Puteri Diana, legenda pop Michael Jackson dan Presiden AS, Barack Obama.

Keesokannya, pagi-pagi lagi saya dan rombongan sudah menaiki bas untuk ke Philadelphia yang mengambil masa empat jam.

Di sana, saya berkesempatan melawat Independent Hall & Liberty Bell yang menjadi simbol kemerdekaan AS.

Dari NYC ke Washington D.C.

Seterusnya, perjalanan diteruskan ke Washington D.C. iaitu pusat pentadbiran kerajaan AS. Kesempatan yang ada digunakan untuk melawat beberapa lokasi bersejarah seperti Lincoln Memorial, Jefferson Memorial, Vietnam Memorial serta kediaman rasmi Presiden AS, White House.

Rombongan turut dibawa melawat ke National History Museum yang terkenal di bandar raya itu.

Menyimpan lebih 500 juta spesimen tumbuh-tumbuhan, haiwan, fosil, mineral, batu-batuan, meteor serta artifak kebudayaan masyarakat, tidak hairanlah ia sentiasa penuh sesak dengan pengunjung.

Keseronokan yang dilalui itu tidak terhenti setakat itu sahaja, keesokannya rombongan dibawa melawat ke Hershey's Chocolate World.

Dikenali sebagai 'syurga coklat', kilang itu menghasilkan beberapa jenama coklat terkenal di dunia.

Lokasi lawatan seterusnya ialah Corning Glass Center. Di situ pengunjung berpeluang melawat muzium kaca yang unik dan mengujakan di samping melihat demonstrasi membuat kaca.

Takjub dengan air tejun Niagara

Seterusnya, rombongan dibawa ke Niagara Falls iaitu antara air terjun tertinggi di dunia. Ia pernah menjadi lokasi penggambaran filem lakonan simbol seks Holywood, Marilyn Monroe bertajuk Niagara.

Mendengar bunyinya sahaja sudah agak menggerunkan apatah lagi, membayangkan kuasa air yang mencurah-curah dari Sungai Niagara yang memenuhi Tasik Erie dan Tasik Ontario itu.

Keesokannya, saya dan rombongan dibawa melawat beberapa air terjun yang terkenal di Niagara antaranya Canadian Horseshoe Falls, American Falls, Goat Islands, Bridal Veil Falls dan Maid of The Mist.

Biarpun dibasahi tempias air terjun namun, saya puas lebih-lebih lagi melihat salah satu keagungan Tuhan yang begitu menakjubkan itu.

Pada hari terakhir lawatan, rombongan meneruskan perjalanan ke Boston. Di sana, saya berpeluang melawat Universiti Harvard, yang kaya dengan keindahan taman dan seni binanya.

Malah, di situ juga lahirnya ramai ilmuwan termasuk beberapa pemimpin terkenal seperti John F. Kennedy dan Barack Obama serta pengasas Microsoft, Bill Gates.

Ketika lawatan, saya perhatikan orang ramai dan jurugambar (paparazi) berkumpul di sebuah lokasi. Rupa-rupanya, mereka sedang menunggu kemunculan pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg yang turut belajar di situ.

Malah, universiti itu juga telah melahirkan beberapa graduan yang kini menjadi selebriti Holywood terkenal seperti Natalie Portman, Mira Sorvino, Ashley Judd serta Matt Damon.

Biarpun sesi lawatan telah berakhir, namun saya tidak terus pulang ke tanah air sebaliknya meneruskan percutian di negara Uncle Sam itu selama sebulan.

Kebetulan saya mempunyai seorang saudara yang telah menetap lebih 20 tahun di kota itu. Bersamanya, saya turut berkesempatan melawat beberapa tarikan lain di sekitar AS seperti Mount Rushmore National Memorial di South Dakota, Mexican in Minnesota, College Football Hall of Fame, Soldier's and Sailor's Monument, Summit East Rock Park dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: