KUALA LUMPUR: Pengarah filem, Ahmad Idham berhasrat untuk membawa masuk sebuah helikopter bersempena persembahan teater muzikal arahannya berjudul Gerimis Mengundang yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) bermula 27 Mac depan.
Idham berkata, hasrat itu telah pun dipanjangkan kepada Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan berharap ia dapat direalisasikan menjelang malam pembukaan teater muzikal itu.
"Mungkin pada sesetengah pihak mengatakan ia adalah mustahil untuk dilakukan tetapi saya yakin akan ada caranya untuk membawa masuk sebuah helikopter ke dalam Istana Budaya.
"Malah ketika saya menyatakan ingin membawa masuk kereta semasa pementasan teater Impak Maksima dulu ramai yang tidak yakin tetapi akhirnya berjaya," ujarnya.
Idham ditemui pada majlis sidang media pelancaran teater Gerimis Mengundang di IB pada Selasa.
Dalam pada itu, Idham berkata, watak yang dilakonkan oleh Kamal Adli dalam teater tersebut sebagai juruterbang adalah faktor utama mengapa dia bersungguh-sungguh untuk membawa masuk sebuah helikopter dalam pementasan tersebut.
Ujarnya, dia tiada mempunyai sebarang niat untuk bermegah-megah dengan hasrat itu sebaliknya ingin menjadikan pementasan teater di negara ini ke tahap yang boleh dibanggakan seterusnya dapat memuaskan hati penonton.
"Selepas selesai pementasan teater Impak Maksima di IB dan pihak Espelande Singapura berminat untuk mementaskan teater tersebut di negara mereka telah membuka mata saya mengenai kepentingan “props” dalam sesebuah teater.
"Saya ingin meneruskannya dalam Gerimis Mengundang dan berharap ia akan menarik minat pihak luar untuk mementaskan teater ini di negara mereka seperti mana Impak Maksima," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai teater muzikal tersebut, Idham berkata ia adalah prekuel kepada filem dari Gerimis Mengundang yang bakal ditayangkan kepada umum pada akhir bulan Mei depan.
Idham berkata, dia sengaja memilih untuk menghasilkan teater berkenaan terlebih dahulu sebelum filem asal ditayangkan demi memberikan kelainan kepada penggemar filem dan teater di negara ini.
"Selalunya orang akan buat teater berdasarkan filem yang telah ditayangkan tetapi saya memilih untuk menghasilkan teater terlebih dahulu.
"Bagaimanapun jalan ceritanya adalah tidak sama tetapi masih mempunyai kaitan antara satu sama lain," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Idham turut mengakui pemilihan pelakon sinetron popular Indonsia, Mikha Tambayong adalah sebagai strategi pemasaran bagi menarik penonton menonton teater muzikal itu.
Katanya, kebolehan Mikha menynayi dan menari dengan baik adalah sebab utama dia dipilih membintangi teater tersebut.
Gerimis Mengundang bakal dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya bermula 27 Mac sehingga 8 April depan.
Tiket berharga dari RM35 hingga RM305 boleh didapati dengan membuat tempahan di www.ticket2u.biz atau di kaunter tiket Box Office Istana Budaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: