Tuesday, February 14, 2012

9X program untuk belia


ANTARA barisan artis muda yang terlibat di dalam program 9X.


SEJAJAR dengan komitmen saluran TV9 yang mengetengahkan kreativiti di kalangan remaja dan belia, sebuah slot telah dilancarkan khusus bagi tontonan remaja dan belia dalam lingkungan usia antara 19 hingga 29 tahun bagi memberi ruang untuk golongan tersebut melempiaskan idea mereka.

Slot yang diberi nama 9X menjanjikan kelainan serta pengisian yang lebih menarik menggunakan formula yang bersesuaian dengan cita rasa sasaran penonton saluran TV9 yang lebih muda.

Slot tersebut akan menemui penonton TV9 bermula 20 Februari ini pada setiap hari Isnin hingga Rabu pukul 10.30 malam. Antara program menarik yang diselitkan dalam slot ini adalah seperti Aizat Gegar NZ, Teenwolf, Pulau, Soundcheck, 9X Mix Tape dan banyak lagi.

Menurut Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin berkata, 9X bakal menjanjikan kelainan dari segi konsep dan juga barisan program yang disiarkan juga akan hadir dalam pelbagai genre.

Idea 9X hadir melalui hasil pertemuan dengan golongan belia dalam acara padang TV9 sekitar tahun 2011. Melihatkan jumlah belia yang mempunyai idea kreatif, imaginatif yang di luar jangkaan, 9X dicipta sebagai medium untuk mereka meluah dan mengembangkan bakat terpendam yang ada dalam pelbagai bidang.

"Kami berpegang teguh kepada tiga perkara iaitu untuk terus menyuntik elemen baharu di dalam semua usaha kami untuk terus memberikan kelainan serta untuk terus menjadi sumber inspirasi kepada penonton kami.

"Menyedari bahawa adanya keserasian di antara nilai-nilai kami dan komuniti remaja masa kini, ianya menaikkan semangat kami untuk memainkan peranan dalam menyediakan platfom bagi mereka untuk mengekspresikan diri di samping menjadikan ia sebagai aspirasi kepada yang lain," tutur Sherina ketika mengadakan pelancaran 9X di Yayasan Seni, Kuala Lumpur.

Tambahnya lagi, 9X bukan sahaja akan menjadi tapak permulaan kepada para remaja untuk berkarya dan berkongsi kreativiti, malah TV9 turut memberi sokongan serta menggalakkan para belia untuk menceburkan diri dalam bidang produksi yang seterusnya akan disiarkan di saluran TV9 untuk tontonan semua.

Selain itu, program menarik seperti ini adalah satu tujuan untuk menaikkan rating saluran TV9 yang berada di tempat kedua di bawah saluran TV3 dengan perkongsian peratusan sebanyak lapan peratus.

"Jika sebelum ini slot Skrin di TV9 pada pukul 8.30 malam mendapat kutipan penonton seramai 700,000 orang. Namun, kini kami telah dapat mencecah sehingga 1 juta penonton. Dan jujur, kami agak berbangga dengan pencapaian tersebut walaupun saluran TV9 hanya dapat bersaluran di Semenanjung Malaysia sahaja," jelas Sherina teruja.

Bagi belia yang ingin mengetengahkan idea-idea mereka dalam slot ini, TV9 sangat terbuka untuk menerima kertas cadangan dan idea dari sesiapa sahaja. Namun, kelainan dari segi konsep dan idea diperlukan supaya ia tidak kelihatan sama dengan konsep atau program yang sedia ada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: