|
'AWAN' hitam yang muncul dalam bentuk suasana kesedihan susulan kematian mengejut bekas penyanyi diva, Whitney Houston yang seakan-akan cuba membelenggu kemeriahan majlis Grammy Awards ke-54 yang berlangsung di Staples Center, California, Los Angeles semalam bagaimanapun disulami sinar cahaya terang, kemilau dari kemenangan mengagumkan figura paling popular dan terunggul di dunia saat ini - Adele!
Mendiang Houston, 48, yang dijadualkan membuat persembahan pada konsert praGrammy disahkan meninggal pada Sabtu, 11 Februari lalu dua hari sebelum berlangsung majlis anugerah muzik paling berprestij ini, menyebabkan Grammy kali ini dipenuhi dengan aura pemenang enam Anugerah Grammy itu.
Nama mendiang disebut-sebut oleh kebanyakan kalangan karyawan muzik yang muncul pada Grammy kali ini, baik di pentas acara mahupun pada acara karpet merah. "Ada kematian dalam kalangan keluarga kami," ucap hos Grammy ke-54, rapper LL Cool J.
"Muncul sedikit awan hitam...banyak orang bersedih hati hari ini," akui pula penyanyi country, Miranda Lambert yang nyata cukup pilu dengan kepergian Whitney.
Meruntun emosi
Majlis yang meraikan karyawan muzik pelbagai genre dari pop hingga country itu turut diselitkan dengan acara khas bagi memperingati Whitney, khususnya dengan penampilan pemenang Oscar, Jennifer Hudson yang mengalunkan lagu paling hit mendiang, I Will Always Love You dengan penuh syahdu yang nyata sukses dalam meruntun emosi setiap yang melihat dan mendengar persembahan tersebut.
Biarpun Grammy kali ini meriah dengan persembahan hebat antaranya, Rihanna, Chris Brown, Bruno Mars, Coldplay, Katy Perry dan Nicki Minaj, namun sinar cahaya yang terang pada Grammy kali ini mula menjana tatkala Adele diumumkan menang satu per satu enam kategori yang diraihnya.
Masih tersenyum tatkala diumumkan menang untuk kategori kelima dirinya dipertandingkan iaitu anugerah kedua tertinggi Grammy - Rakaman Terbaik Sepanjang Tahun, selepas disahkan sebagai pemenang kategori Album Pop Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Vokal Album Pop Terbaik, Adele tidak lagi dapat menahan emosi apabila diumumkan sebagai pemenang anugerah tertinggi Grammy - Album Terbaik Sepanjang Tahun!
"Ibu, emas adalah bagus!" jerit pemilik nama Adele menujukan kemenangan itu untuk turut dikongsi bersama ibunya, Penny Adkins mengiringi tangisan terharunya saat menjulang trofi Album Terbaik Sepanjang Tahun sambil dikelilingi karyawan penting di sebalik kejayaannya itu termasuk penerbit album 21, Ryan Teddy.
|
|
Tambah Adele: "Album ini (21) dihasilkan dengan meraih inspirasi daripada sesuatu yang sangat normal...hubungan (cinta) yang tidak menjadi."
Ironinya, jika sepanjang hayatnya, Whitney merangkul enam anugerah Grammy, namun Adele nyata lebih hebat apabila menang enam Grammy secara sekali gus menerusi Grammy ke-54 ini. Ia menyamai rekod yang dibuat oleh Beyonce sebelum ini yang pernah menang enam anugerah Grammy ke-52 secara sekali gus pada tahun 2010.
Dicampur dua lagi anugerah Grammy yang diraihnya menerusi album sulungnya, 19 pada Grammy tahun 2009 iaitu Artis Baharu Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik, Adele kini mengumpul sejumlah lapan Anugerah Grammy hanya menerusi dua buah album.
Pada usianya yang baru 23 tahun, perjalanan Adele masih jauh dan laluan emas berkilauan buatnya yang kini terbentang luas sekali gus menyediakan suatu cabaran yang hebat buat dirinya sama ada di masa mendatang ini dia akan kekal hebat seperti hari ini atau turut menyertai 'laluan maut' seperti mana mendiang Houston.
Foo Fighters kuasai rock
Selain Adele, band rock Foo Fighters turut menang besar apabila merangkul lima kemenangan termasuk kategori Album Rock Terbaik menerusi album mereka, Wasting Light.
"Bagi saya, kemenangan kami ini sangat penting kerana ia menunjukkan elemen terpenting manusia adalah untuk menghasilkan muzik. Ia (muzik) tentang apa yang lahir dari hati," ucap vokalis Foo Fighters, David Grohl.
Kanye West yang meraih pencalonan Grammy terbanyak sebanyak tujuh lebih satu daripada Adele, menang empat anugerah termasuk untuk kategori Album Rap Terbaik dan Lagu Rap Terbaik.
West bagaimanapun tidak hadir pada majlis anugerah yang menyaksikan penyanyi country jelita, Taylor Swift meraih dua anugerah iaitu Persembahan Solo Country Terbaik dan Lagu Country Terbaik.
Sebenarnya ramai ingin melihat kemunculan West pada acara yang sama dihadiri oleh Swift kerana mereka berdua pernah terbabit dalam kontroversi pada tahun 2009 iaitu pada acara MTV Video Music Aweards. Ia tercetus apabila West yang berang dengan kemenangan Swift merangkul Anugerah Video Penyanyi Wanita Terbaik mengalahkan calon lain termasuk Beyonce telah menyerbu pentas dan merampas trofi yang dijulang Swift ketika itu.
|
|
Lain hal pula dengan Chris Brown yang sebelum ini pernah terbabit dengan kes pukul penyanyi Rihanna, juga pada tahun 2009.
Biarpun mengetahui Rihanna muncul dan membuat persembahan di pentas Grammy kali ini, namun Brown menunjukkan sisi profesionalnya apabila hadir bukan sahaja untuk membuat persembahan yang hebat tetapi meraih ganjaran positif apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Album R&B Terbaik.
Selain menjadi acara paling bererti buat penyanyi legenda Diana Ross yang diberikan pengiktirafan kehormat Grammy iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, warna-warni dan corat-coret Grammy ke-54 pada tahun ini disempurnakan dengan persembahan penutup daripada otai legenda yang pernah mencetuskan fenomena bersama Beatles suatu ketika dahulu, tidak lain dan tidak bukan Paul McCartney.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: