Thursday, December 8, 2011

Usia bukan halangan

pix_gal0
Sukar padam karakter penghidap kanser

PERBEZAAN usia tidak menjadi penghalang bagi dua pelakon Korea ini membina keserasian dalam menjayakan watak pasangan bercinta, malah keberkesanan lakonan mereka membuatkan drama romantis lakonan kedua-duanya mendapat sambutan amat menggalakkan di negara kita.
Kim Sun-A, 36, dan Lee Dong Wook, 30, sememangnya saling memuji kredibiliti masing-masing dan mengakui senang bekerjasama serta sedikit pun tidak wujud ketidakselesaan walaupun drama dilakonkan memerlukan mereka menjayakan banyak adegan intim.
Pengalaman bekerjasama itu diceritakan mereka ketika ditemui di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, kelmarin, dan masing-masing teruja kerana ini adalah kali pertama mereka berkunjung ke sini, khusus bagi mempromosikan drama yang berjudul Scent of a Woman, pada masa sama mengambil kesempatan untuk bertemu media dan peminat.

Memang tidak dinafikan dua pelakon berbakat ini mempunyai bilangan peminat yang tidak kurang hebatnya, masakan tidak mereka sanggup terbang jauh ke sini khas untuk memberikan tanda penghargaan.

Barangkali bahasa adalah cabaran utama bagi mengenali dua pelakon ini dengan lebih rapat, tetapi ia tidak menghalang pelakon wanita yang terkenal menerusi drama My Lovely Sam Soon ini untuk berkomunikasi dengan setiap media yang hadir.

Ternyata Sun-A seorang yang ramah dan ceria apabila dia pandai bermain dengan mimik muka dan gerak tubuh tatkala bercerita, lantas membuatkan wakil media mengukir senyuman, malah ada yang tertawa melihat keletah dirinya menyampaikan mesej.
Di sebalik itu siapa yang menyangka, agak sukar untuk wanita ini memadamkan karakter Lee Yeon Jae dalam dirinya. Watak berkenaan dilakonkan dalam drama Scent Of A Woman, di mana dia memainkan watak wanita yang terpaksa bertarung dengan nyawa apabila disahkan menghidap kanser.

Secara ringkasnya, drama 16 episod ini menceritakan mengenai perjalanan hidup Yeon Jae, seorang wanita yang hanya tinggal enam bulan lagi untuk mengecapi kehidupan selepas mengetahui nyawanya diancam penyakit barah.

Dikurniakan kebahagiaan walaupun dalam tempoh yang singkat, pertemuannya dengan Kang Ji Wook, lakonan Dong Wook, anak kepada bekas majikan Yeon Jae yang kaya tetapi sinis ini membuahkan bibit-bibit cinta yang mana penonton dapat menyaksikan pelbagai adegan pahit manis serta menyentuh hati di sebalik perjalanan cinta mereka berdua.

"Watak Yeon Jae banyak bermain dengan emosi dan memerlukan saya untuk fokus mengawal emosi yang dibina, serta saya banyak menggunakan imaginasi dalam menghayati karakter itu. Dalam drama ini juga saya benar-benar menghayati kehidupan Yeon Jae dan tidak senang untuk saya menyingkirkan karakter itu dari diri saya dalam masa yang singkat.

“Tambah lagi, untuk menjayakan promosi drama terbabit, saya perlu kekal dalam karakter sehingga hujung tahun ini. Oleh sebab itu saya mengambil masa untuk berehat seketika daripada berlakon dan kini sedang mempertimbangkan beberapa tawaran lakonan yang lain.

“Boleh dikatakan 16 episod adalah masa yang agak singkat untuk penonton mendalami cerita ini. Scent of a Woman menekankan bahawa pentingnya cinta dalam kehidupan seseorang dan ia lahir dari hati, bukannya luaran. Bahkan jika kisah percintaan ini terjadi pada kehidupan realiti, saya tidak rasa umur menjadi masalah dalam sesuatu perhubungan,” ujarnya yang menyifatkan adegan menari tango antara yang paling mencabar dalam drama berkenaan.

Ingin bergelar sutradara

BAGI Dong Wook pula, agak sukar untuknya memilih adegan yang mencabar, kerana rata-rata perjalanan cerita ini memerlukan penghayatan yang kuat, tambah lagi babak romantis yang menyentuh perasaan.

Akui aktor yang terkenal menerusi drama My Girl, drama yang hingga ke hari ini menjadi bualan peminat, dia pada mulanya agak takut untuk membawakan watak Kang Ji Wook, memandangkan dirinya sudah dua tahun tidak berlakon kerana baru saja tamat kursus ketenteraan.

Namun di atas kepercayaan dan sokongan yang diterima berserta bimbingan dari Sun-A sendiri, dirinya perlahan-lahan membina kembali keyakinan, lantas menggunakan masa dengan sebaiknya mengasah bakat lakonannya bersama barisan pelakon, kru dan pengarah.

“Walaupun Sun-A ialah pelakon senior dan lebih berpengalaman daripada saya, dia tidak lokek berkongsi ilmu. Mana mungkin saya menolak peluang untuk berlakon di samping pelakon popular sepertinya? Disebabkan itu saya menerima tawaran berlakon drama ini.

“Saya akui saya agak kekok untuk berlakon selepas keluar dari kem tentera, namun di atas sokongan dan dorongan orang di sekeliling, saya dapat menghayati watak dengan baik. Jika dulu saya dikenali dengan karakter di dalam My Girl, kini saya mahu dikenali dengan drama ini yang memperlihatkan sisi matang saya dalam lakonan, memandangkan usia saya yang semakin bertambah,” ujarnya yang menyimpan impian untuk bergelar pengarah.

Pelakon dan juga model ini mempunyai hasrat untuk menghasilkan sebuah drama atau filem yang berunsurkan misteri serta melodrama pada masa depan. Siapa tahu dirinya akan duduk di kerusi sutradara menghasilkan barisan cereka buat tontonan ramai, dan pastinya peminat setia tidak akan melepaskan peluang untuk menontonnya.

Berkongsi serba sedikit mengenai peribadinya, aktor ini berkata, dirinya tidak seperti karakter Ji Wook. Dia seorang yang berterus terang dan tidak begitu ramah dan mesra, namun Dong Wook gemar meluangkan masa bersama kawannya.

Scent of a Woman ialah drama pertamanya selepas sekian lama tidak beraksi, dan ini akan disusuli dengan drama berjudul Wild Romance, yang akan ke udara pada Januari depan. Amat berlainan dengan watak Ji Wook, aktor kacak ini membawakan watak seorang pemain bola keranjang di dalam drama bersiri terbabit.

Drama bersiri lakonan kedua-dua bintang ini boleh diikuti di saluran One HD (Astro B.yond saluran 393), pada setiap Rabu dan Khamis, jam 9.05 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: