|
|
TERSENYUM apabila terdengar satu kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang sahabat tentang perlunya pertukaran istilah 'raja dan ratu sehari' kepada istilah lain.
Walaupun ia satu frasa 'penyedap bahasa' sahaja, namun ada wajarnya kerana 'sehari' itu merujuk kepada tempoh yang terlalu sekejap hinggakan begitu banyak sekali kes perceraian yang berlaku pada usia awal perkahwinan.
Rasionalnya, setiap tutur kata yang keluar dari mulut itu juga adalah doa maka wajarlah istilah tersebut ditukar demi kelangsungan sebuah rumah tangga yang rukun bahagia.
Menambah bukti terhadap pernyataan di atas ialah dengan meningkatnya kes penceraian melibatkan usia perkahwinan di bawah lima tahun tahun demi tahun.
Benar ia satu senario yang amat membimbangkan apatah lagi jika pasangan bercerai sudah memiliki cahaya mata.
Bukankah ia sepatutnya tidak berlaku kerana rumah tangga itu dibina atas dasar kasih sayang dan ikrar untuk menjaga satu sama lain?
Antara yang dilihat menjadi punca kepada rumah tangga yang tidak bahagia adalah kerana pasangan suami isteri muda ini tidak mengamalkan tertib pengantin sebelum bergelar suami isteri.
Perunding perkahwinan berpengalaman, Raja Andak Raja Hussin atau lebih dikenali dengan panggilan Andak berkata, tertib pengantin boleh disimpulkan sebagai disiplin diri atau etika pasangan lelaki dan perempuan sebelum mendirikan rumah tangga.
"Kedua-dua sama ada lelaki mahupun perempuan yang sudah memutuskan mahu menjadi pasangan suami isteri mesti berjanji untuk mengikuti tertib ini sehinggalah mereka diijabkabulkan.
"Tertib ini amat penting kerana ia secara tidak langsung menjamin kebahagiaan dalaman dan luaran, impian membentuk keluarga bahagia andai mereka berdua berjanji untuk mempraktikkannya," jelas Raja Andak yang ditemui baru-baru ini.
Dalam zaman yang serba ringkas dan berteknologi tinggi ini ramai muda mudi yang mengambil mudah tentang perkara asas seperti adab sopan, kelakuan diri, sifat malu dan mengawal diri, serta menjaga perasaan orang lain terutama keluarga dan bakal mertua.
"Alangkah ruginya jika bakal pengantin tidak mengamalkan tertib-tertib ini, kerana ia adalah punca utama mengapa sebuah kerukunan rumah tangga itu tidak dapat bertahan untuk satu jangka masa yang panjang," tegasnya.
Pengalaman pelajaran paling berharga
Tambahnya, jika diimbas pada zaman kira-kira 50 tahun dahulu ibu bapalah yang banyak memberi panduan dan menegur dalam memberi tunjuk ajar kepada anak-anak mereka walaupun setelah anak-anak berkahwin.
Namun situasi itu sudah amat jarang dipraktikkan memandangkan ibu bapa kini menyerahkan segala urusan rumah tangga secara mutlak kepada anak mereka.
"Mungkin ini berlaku kerana kebanyakan anak-anak kini berpelajaran tinggi dan ibu bapa menganggap mereka tidak layak untuk memberi nasihat, padahal ia tidak patut berlaku begitu kerana pengalaman adalah pelajaran yang paling berharga dalam hidup.
"Alam bujang dan alam bergelar suami atau isteri adalah dua dunia yang amat berbeza. Transformasi inilah yang perlu dipandu dengan cermat oleh ibu bapa supaya anak tersebut berjaya mengemudikan diri dan ahli keluarga dengan lebih matang dan rasional.
"Dalam pada itu, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak yang baru memasuki alam rumah tangga ini agar pandai hidup bermasyarakat kerana ia amat penting bagi mendapatkan kehidupan yang berkualiti dan stabil," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: