|
|
SETELAH 15 tahun berhempas pulas menghadapi segala perit getir dunia hiburan, Shaheizy Sam (Sam) kini sudah boleh tersenyum lebar.
Namun bagi anak muda yang baru memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke- 24, dia tidak pernah letih untuk bekerja keras.
Malah bagi Sam, 2011 merupakan tahun paling penting buatnya apabila bakat lakonan diiktiraf setelah kembali aktif pada 2009.
“Tahun ini saya banyak menerima penghargaan dari peminat.
“Bagaimanapun itu tidak bermakna ini merupakan tahun kemuncak saya, perjalanan seni itu masih lagi terlalu jauh untuk dilalui,” katanya.
Ditanya mengenai kenangan pahitnya sepanjang 2011 menurut Sam, tiada apa yang mahu di kategorikan sebagai pahit, baginya setiap yang berlaku itu mempunyai sebabnya yang tersendiri.
“Susah untuk saya berkongsi pengalaman pahit.
“Saya langsung tidak pernah menggangap perkara yang buruk itu sebagai sesuatu yang pahit, malah ia merupakan satu lagi petunjuk untuk saya berusaha lebih kuat pada masa hadapan,” katanya yang bakal muncul dengan lima buah filem baru pada tahun hadapan.
Akur memberitahu bahawa filem komedi banyak menguasai perjalanan seninya pada tahun ini, menurut Sam dia tidak kisah andai peminat lebih menyukai dia melakonkan watak sebegitu.
Namun bagi kariernya sendiri, Sam berharap dia mampu membawakan pelbagai watak bagi mengimbangi bakat lakonan yang dimiliki.
“Saya mahu dikenali sebagai pelakon yang mampu membawakan pelbagai watak, bukan hanya watak komedi.
“Namun itu bukan bermakna saya akan menolak tawaran untuk berlakon di dalam filem komedi selepas ini. Saya cuma mahu memberi gambaran jelas kepada peminat yang saya merupakan seorang pelakon yang mampu membawakan apa saja watak,” jelasnya.
Jarang rasanya untuk melihat Sam menghiasi kaca televisyen kebelakangan ini, malah ada yang mengatakan Sam kini mahu menyimpan bakat eksklusifnya untuk tayangan filem sahaja.
Menjawab persoalan itu Sam memberitahu dia tidak pernah mahu menjadi tamak untuk menerima apa saja tawaran, malah bagi anak bujang pelakon veteran terkenal Khaty Fauziah ini adalah lebih baik untuknya memberi fokus kepada setiap pekerjaannya.
“Saya lebih suka untuk memberikan fokus kepada setiap pekerjaan.Bukan niat saya untuk tidak berlakon dalam mana-mana drama kini cuma kekangan waktu itu membataskan,” tegasnya yang menjangkau umur 29 pada tahun hadapan.
“Impian saya adalah untuk menjadi seorang penerbit suatu hari nanti.
“Bidang pengarahan pula masih lagi di fikiran saya. Saja juga menyimpan minat untuk menjadi pengarah suatu hari nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: