PETALING JAYA: Pengarah drama terkenal, Murali Abdullah dikejarkan ke Hospital Selayang, dekat sini kira-kira pukul empat petang Khamis selepas mengalami muntah-muntah dan sakit kepala di lokasi penggambaran drama Mr. Labuci.
Menurut Penerbit Ekskutif Zeel Production, Muhamad Norazhar Baharuddin atau Bobby, pihaknya belum mengetahui keadaan Murali kerana masih menunggu laporan daripada pihak hospital.
"Ketika ini Murali masih ditahan di wad kecemasan dan sedang tidur selepas mengalami muntah-muntah yang agak teruk. Doktor juga telah melakukan x-ray ke atasnya bagi mencari punca penyakit tersebut," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.
Muhamad Norazhar berkata, mengikut pemeriksaan awal, doktor memberitahu pengarah tersebut mengalami sedikit pendarahan pada otak tetapi keadaannya terkawal.
Katanya, doktor juga masih tidak dapat mengesahkan sama ada Murali diserang penyakit angin ahmar kerana simptom yang ditunjukkan tidak ke arah itu.
"Semasa dibawa ke hospital dia dalam keadaan sedar dan tiada tanda-tanda dia mengalami angin ahmar," ujarnya.
Ditanya adakah Murali pernah mengadu mengalami sebarang kesakitan sebelum ini, Muhamad Nurazhar berkata, pengarah drama itu tidak pernah mengadu apa-apa kepadanya.
"Dia juga tidak pernah sakit sebelum ini dan hanya mengadu mengalami pening kepala pada tengah hari ini," ujarnya.
Sementara itu, pelakon Rozita Che Wan yang turut berlakon dalam drama berkenaan ketika dihubungi pada malam Khamis berkata, dia terkejut dengan kejadian yang menimpa Murali dan memberitahu sedang dalam perjalanan ke hospital berkenaan.
Rozita berkata, Murali tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia sakit pada penggambaran yang baru masuk hari kedua di sebuah kawasan di Selayang itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: