|
|
KONSERT akhir program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa yang telah sempurna menutup tirai pada malam Ahad lalu menyaksikan Norhasmidar Ahmad, 25, menjadi penyandang gelaran juara sulung musim pertama.
Masih sukar mempercayai dirinya mampu menjulang trofi juara apatah lagi bertanding di pusingan akhir, Asmidar sudah merancang skop hidupnya berbekalkan wang kemenangan RM50,000.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira, ini pertandingan paling sengit seumur hidup saya. Saya tahu kemampuan Mafa, apa yang dia ada saya tak ada, memang di luar jangka!
“Saya ingin rakam album atau single sendiri supaya kerjaya tidak terhenti di sini, selebihnya belum lagi diputuskan,” katanya yang ditemui selepas tamat konsert akhir Vokal Bukan Sekadar Rupa di Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini.
Asmidar yang meminati muzik tradisional serta pop jazz bagaimanapun mengakui masih mencari identiti diri untuk membawanya hanyut dalam gelombang seni.
Kekuatan
Mafarika Mohd. Akhir, 19, atau Mafa kata Asmidar merupakan pesaing sengit sepanjang 10 minggu rancangan itu ke udara.
Tambah Asmidar, Mafa punyai suara yang lebih nyaring, bijak meletakkan bunga suara pada tempat yang betul serta lebih bertenaga berbandingnya.
Namun bagi Mafa, kekecewaan tidak tertulis dalam diari hidupnya. Malah dia lebih percaya pada rezeki.
“Saya percaya pada rezeki dan reda dengan keputusan, tak semestinya selepas ini saya tidak akan berjaya dan sekarang pun saya sudah buktikan kepada semua, orang yang berbadan besar pun mampu sampai ke tahap ini,” ujarnya yang mengaku membuat salah terutama dalam menyanyikan lagu baharu.
Asmidar dan Mafa masing-masing diberikan lagu baharu untuk didendangkan konsert final itu.
Asmidar menyanyikan lagu ciptaan Ajai berjudul Biar Sampai Ke Bintang manakala Mafa memperoleh lagu Tiba yang dicipta komposer Audi Mok dan lirik Omar K dalam pusingan kedua.
Pusingan pertama memperlihatkan kehebatan Mafa membawakan lagu Jangan Tinggal Daku meninggalkan pencabarnya Asmidar yang menyanyikan lagu My Way apabila menjadi pilihan juri tetap Azmeer dan Erra Fazira serta juri jemputan Ziana Zain.
Dalam pusingan ketiga iaitu Battle membuktikan kekuatan lenggok suara Asmidar membawakan lagu Laksamana Raja Di Laut nyanyian asal Datuk M. Daud Kilau dan mendapat tempat di hati Erra dan Ziana.
Makin jauh meninggalkan Mafa menerusi lagu Hurt (Christina Aguilera) yang dipilih Mafa sendiri untuk pusingan yang sama, Asmidar dinobatkan sebagai penyanyi yang punyai pernafasan paling baik oleh Azmeer.
Keputusan akhir hasil undian SMS dan juri diungguli oleh Asmidar dengan 73 peratus dan Mafa, 53 peratus.
Konsert akhir Vokal dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada Adibah Noor dengan lagu Siapa Dia dan aksi-aksi bekas finalis Vokal iaitu Azmarul, Irsa, Fakhrul dan Boby dengan rangkaian lagu Cinta Harus Memiliki, Someone Like You, Gerhana dan Tapi Bukan Aku serta diakhiri menerusi lagu tema Vokal; Aksi Suara.
Musim kedua
Azmeer yang ditemui usai acara itu mengakui sukar untuk membuat keputusan kerana kedua-dua peserta akhir itu miliki kekuatan tersendiri.
“Secara peribadi saya suka ton suara Mafa tapi corak pertandingan ini siapa buat salah dia kalah! Saya yakin Mafa boleh berjaya dengan ton suara dan kreativiti yang dia ada cuma kawalan pernafasan perlu dipertingkatkan.
“Tapi saya tidak menafikan Asmidar ada teknik pernafasan yang hebat dan dia penyanyi yang saya cari selama ini, ton suara dia tebal dan lunak! Dari segi pitching suara Asmidar, 98 peratus hampir sempurna,” jelas Azmeer.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Vokal, Muhammad Sufian Che Isa mengakui ada beberapa aspek yang kurang dititikberatkan dalam program musim pertama.
“Kita akan membuat penambahbaikan untuk musim kedua, tapi dari segi pencapaian dan rating penonton pihak produksi amat berpuas hati,” katanya yang akan memaklumkan sekiranya program realiti itu bakal diteruskan untuk musim akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: