|
|
DARIPADA orang biasa-biasa, muncul menjadi luar biasa. Ia seperti sangat mudah, tetapi sebenarnya tidak semudah yang disangka.
Istimewanya gadis ini ialah dia terkenal apabila lagu miliknya yang bertajuk Cinta Muka Buku menjadi perhatian setelah dimuat turut ke laman YouTube.
Lagu tersebut bukan sahaja berjaya membawa namanya terkenal secara mendadak tetapi juga meletakkan muzik santai miliknya menjadi antara kegilaan remaja di negara ini. Najwa meraih kemewahan melalui kreativiti bergandanya itu.
Bagi Najwa Latif atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, 16, tahun ini merupakan tahun paling bermakna untuknya.
Mana tidaknya mengambil masa hanya 6 bulan sahaja, dia telah berjaya mencapai pelbagai peluang dan yang paling hebat adalah melayakkan diri ke pertandingan akhir Muzik Muzik ke-26 pada 29 Januari ini depan.
“Saya langsung tidak menyangka bahawa Cinta Muka Buku membawa saya sehingga ke tahap ini dalam jangka waktu yang begitu singkat.
“Bagaimanapun saya tetap bersyukur dengan rezeki mendadak ini, di mana saya akan menghargai peluang yang diberikan untuk memperbaiki perjalanan muzik saya di dalam industri,” katanya, berkongsi bahagia dengan Utusan Malaysia.
Sedar akan peluang yang terimanya ini terlalu cepat, menurut Najwa dia tidak pernah menduga perjalanan seninya ini akan bermula seawal dia di bangku sekolah lagi.
“Saya sendiri tidak percaya akan berada di sini secepat ini.
“Bagaimanapun itu bukan perkara yang perlu saya rungsingkan kerana apa yang penting saya masih di dalam proses pembelajaran untuk melalui liku-liku sebagai seorang penghibur di negara ini,” katanya yang bernaung di bawah label NAR Records.
Najwa memberitahu walaupun kini dia sudahpun bergelar penyanyi professional namun tiada salahnya jika peminat di luar sana masih mahu mengenalinya dengan gelaran sebagai “gadis YouTube”
“Saya bermula dari situ (YouTube), dan saya tidak pernah mahu melupakan landasan pertama saya.
“Sehingga ke saat ini pun masih ada peminat yang menggelarkan saya sebagai gadis You Tube, dan jujur saya katakan saya tetap selesa dengan gelaran itu,” kata.
Bakal menghadapi peperiksaan penting pada tahun hadapan, menurut Najwa di dalam memastikan dia tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap pelajaran dia akan mengurangkan aktiviti seninya mulai bulan Mac hadapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: