Bekas finalis Dewi Remaja 2010, Anzalna Nasir, antara nama baru dalam industri hiburan tanah air yang semakin mendapat perhatian pengarah dan penerbit filem serta drama.
Ternyata rezeki gadis manis ini semakin mencurah-curah apabila menerima pelbagai tawaran berlakon hingga tidak menang tangan dibuatnya.
Baru sahaja selesai penggambaran drama adaptasi novel di TV3, Gemersik Kalbu, anak kelahiran Pulau Pinang ini bagaimanapun tidak mahu terlalu tamak meraih peluang yang ada.
Menurut Anzalna, buat masa ini dia lebih selesa memegang watak pembantu dalam sesebuah drama kerana masih belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai pelakon utama.
“Saya selesa dengan apa yang ada sekarang walaupun sekadar memegang watak sampingan kerana saya masih dalam proses belajar menghayati watak yang ditawarkan kepada saya.
“Sebelum ini ada beberapa pengarah menawarkan saya watak utama dalam drama mereka, tetapi saya terpaksa tolak. Belum masanya lagi untuk saya ambil tawaran seperti ini kerana banyak lagi yang perlu saya perbaiki,” katanya.
Katanya, walaupun masih baru dalam bidang lakonan, setiap watak yang diberikan kepadanya akan cuba dihayatinya sebaik mungkin.
“Saya akui lakonan saya tidak sebaik pelakon lain, tapi saya akan lakukan yang terbaik dan saya harap penonton dapat menerimanya,” katanya.
Pelakon berusia 23 tahun ini juga bakal membintangi dua filem iaitu Sepah The movie arahan MP Roslin yang akan menemui penonton pada Jun 2012 dan filem Tyickoouns yang akan memulakan penggambaran pertengahan tahun depan.
Mahu rehat secukupnya
Jika rakan seperjuangannya di Dewi Remaja 2010 seperti Neelofa dan Izara Aisyah semakin mencipta nama, Anzalna juga tidak kurang hebatnya.
Menurut Anzalna, sejak empat bulan lalu, jadualnya amat padat dengan sesi penggambaran drama dan filem.
“Baru-baru ini saya terpaksa berulang-alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur selama seminggu untuk menghadiri penggambaran filem Sepah The Movie dan drama Gemersik Kalbu.
“Bukannya tamak, tapi atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan membuatkan jadual saya menjadi kucar-kacir dan terpaksa berulang-alik,” katanya.
Maka, selepas tamat saja penggambaran Sepah The Movie dan Gemersik Kalbu, Anzalna merancang untuk menghabiskan masanya dengan berehat.
“Saya akui sangat keletihan dan tidak mendapat rehat yang cukup akibat aktiviti penggambaran tanpa henti.
“Oleh itu, saya ambil keputusan untuk berehat seketika sebelum kembali sibuk dengan aktiviti lakonan,” katanya yang sudah memiliki teman istimewa ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: