Saturday, December 31, 2011

Berseronok dalam kedinginan salji



BAYANGKAN gaya hidup masyarakat kota metropolitan dan desa yang tidak terkejar-kejar lantaran rentak harian yang diperlahankan mood bercuti dan suhu dingin. Begitu juga dengan suasana romantis saat berehat di hadapan ruang pendiangan api, menikmati makanan hangat yang lazat, bermain salji dan menaiki kenderaan luncur salji.

Biarpun tenaga fizikal dan rasa teruja itu dipengaruhi keinginan santai berehat dan bermalas-malasan, itu tidak bermakna musim sejuk ini hanya membataskan anda di dalam kediaman. Bagi yang berkemampuan dari segi kewangan dan bersemangat kembara, musim ini juga menjadi momen terbaik untuk menghabiskan waktu bersama keluarga dan insan tersayang di destinasi bermusim sejuk.

Lokasi yang mungkin termasuk dalam senarai percutian sehingga Februari tahun hadapan tentunya resort ski popular. Kalau ramai pelibur di negara beriklim sejuk membuat keputusan untuk ke destinasi tropika yang mataharinya terus memancar terik, pasti ramai dalam kalangan kita yang mahu juga menikmati keseronokan dalam musim salji.

Karnival Musim Salji Quebec

Semenjak aura kehidupan Perancis membentuk koloni di Quebec, masyarakatnya menjalankan tradisi tahunan meraikan kulinari dan kebersamaan. Di wilayah istimewa Kanada itu, sebuah karnival musim sejuk yang meriah dianjurkan setiap tahun sejak tahun 1824.

Sentiasa melaksanakan pengisian baharu untuk menambah tarikannya, festival tersebut kali ini bakal berlangsung dari 27 Januari hingga 12 Februari 2012. Sesuai untuk dikunjungi semua lapisan usia, antara aktiviti yang dapat disaksikan dan disertai adalah mandian hangat, perarakan malam, luncur salji, fusbol, pertandingan mengarca salji, persembahan hiburan serta bermain ski.

Quebec sememangnya destinasi musim sejuk yang ditunggu-tunggu! Oh ya, kalau datang berdua dengan si dia tersayang, bolehlah menuju ke Ice Palace kerana di situ janji kesetiaan dan kasih sayang dapat diperbaharui bersaksikan seni bina fantasi yang dibuat secara keseluruhan daripada bongkah ais.

Kehangatan onsen


Para pelancong teruja menaiki kereta luncur salji yang ditarik oleh rusa kutub di wilayah Lapland dekat utara Finland.


Onsen bermaksud kolam air hangat dalam bahasa Jepun, namun istilah itu juga merujuk kepada premis mandian umum dan rumah penginapan yang terletak berdekatan dengan punca air semula jadi tersebut.

Jepun terletak dalam zon gunung berapi aktif, maka terdapat ribuan onsen di seluruh pulau tersebut. Secara tradisinya, ia menjadi tumpuan orang awam untuk membersihkan diri, namun kini tarikan onsen telah menjadi magnet pelancongan di Negara Matahari Terbit itu terutamanya dalam kalangan pelancong dari luar negara.

Bergantung kepada pilihan masing-masing, pengunjung boleh mencuba mandian onsen di ruang terbuka (rotenburo) atau mandian di premis tertutup. Sebagai cadangan untuk pasangan romantis, mereka boleh memilih untuk menginap di bilik hotel yang mempunyai akses peribadi ke ruang onsen yang privasi.

Onsen yang terletak di kawasan kampung juga adalah disyorkan kerana ia menawarkan pengalaman ideal bagi mengisi momen santai sekali gus melenyapkan stres akibat kesibukan gaya hidup urban.

Festival Sirap Maple

Pilihan destinasi ini adalah untuk mereka yang mahu meraikan musim sejuk dalam kelazatan dan kemanisan. Sirap maple dari wilayah timur laut Amerika Syarikat, New England. Negeri-negeri terlibat seperti Vermont, Massachusetts dan New Hampshire menjadi tuan rumah kepada banyak acara yang berkait rapat dengan industri pengeluaran sirap maple mereka.

Terkenal ke serata dunia, produk kebanggaan mereka itu terasa lebih enak jika dirasa apabila berada di festival berkenaan, berbanding mendapatkannya di para-para pasar raya. Pengunjung boleh terus merasai kesegaran dan kemanisan sirap maple yang dituang terus ke atas salji lantas menjadi gula-gula beku.

Pengunjung yang datang berpasangan dipelawa untuk mengikuti aktiviti dalam pakej bersiar-siar Sirap Maple New England. Antara pengisiannya adalah lawatan ke ladang pembuatan gula maple, Santuari Hidupan Liar Moose Hill, Muzium Maple Vermont atau Parker's Maple Barn di Mason.


SIRAP maple dibotolkan secara langsung dan dijual kepada pengunjung sempena Festival Sirap Maple New England.


Safari rusa kutub

Pernahkah anda melihat singa, kuda belang dan gajah di safari Afrika? Jika pernah, cuba fikirkan kelainan dengan mengikuti ekspedisi safari berbeza sempena musim sejuk ini di Lapland - sebuah kawasan terpencil di penghujung utara negara Sweden dan Finland.

Pastikan tubuh dibaluti pakaian panas yang tebal apabila mahu menuju ke destinasi istimewa ini. Dalam kereta salji yang ditarik rusa kutub yang jinak, dakaplah insan tersayang masing-masing saat ia merentasi landskap yang diselaputi keputihan salji.

Jika bercadang untuk tinggal di Lapland lebih lama, aktiviti safari rusa kutub boleh digabungkan dengan aktiviti musim sejuk yang lain seperti melawat lokasi melihat Cahaya Utara (aurora borealis) yang indah di hamparan langit luas. Sebuah penginapan unik bernama Ice Hotel di perkampungan Jukkasjärvi di Sweden juga menawarkan pengalaman inap desa yang menarik.

Pasar Krismas

Jerman sangat terkenal dengan pasar Krismas. Dikenali dengan nama Christkindlmarkt atau Weihnachtsmarkt, lokasi pasar sentral di Nürnberg merupakan salah satu daripada pasar paling tua dan tradisional di negara itu.

Tahun ini, pasar popular itu dibuka dari 25 November hingga 24 Disember. Sepanjang tempoh itu, orang ramai akan bersesak di rangkaian lorong yang dibentuk daripada susunan banyak pondok jualan dan gerai.

Pelbagai jenis barangan ditawarkan - daripada aksesori perhiasan diri, barangan rumah hinggalah kepada dekorasi Natal dan masakan tempatan. Terdapat gerai-gerai khusus yang mempamerkan dekorasi Krismas yang tipikal seperti figura dan arca yang diukir secara langsung daripada bongkah kayu. Bagi yang ingin merasa hidangan, bolehlah mencicip GermanLebkuchen, iaitu roti halia bersama kopi panas.

Spa termal


SEORANG pengendali kereta luncur salji sedang memperkemas ikatan pada rusa kutub peliharaannya.


Ketika musim panas, Slovenia menjadi destinasi terkenal buat pelibur yang mahu menikmati pengalaman rawatan spa dan mandian. trend itu didorong oleh tawaran harga yang rendah berbanding banyak lokasi di keseluruhan Eropah.

Dalam musim sejuk pula, aktiviti itu masih boleh disertai tetapi sebaik-baiknya ia dilakukan di dalam premis. Terdapat banyak pusat spa kesihatan termal untuk dipilih. Sama ada berehat-rehat dalam buih jakuzi atau 'menyerahkan' tubuh kepada kepakaran tukang urut yang melegakan urat serta otot, semua itu bakal menjanjikan kepuasan.

Kemudian, akhiri sesi bersiar-siar dengan menikmati secawan teh atau coklat hangat di bilik penginapan sambil menyaksikan emping halus salji yang turun dari jendela kaca. Sesiapapun pasti kembali dari percutian tersebut dengan kedamaian dan kesegaran minda, fizikal dan emosi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: