PENGGAL persekolahan 2012 bakal bermula minggu depan. Jika sebelum ini ibu bapa berhabisan belanja untuk perayaan kini tibalah masa pula untuk berbelanja keperluan anak-anak ke sekolah.
Lazimnya, keperluan ini memerlukan kos yang agak tinggi apatah lagi bagi yang mempunyai anak yang ramai ke sekolah.
Jika dahulu RM200 mungkin cukup untuk keperluan seorang anak tetapi musim sekarang dengan keadaan yang serba mahal, nilai tersebut sudah tidak mencukupi.
Malah, harga sepasang kasut sekarang melebihi RM30 itu belum lagi ditambah dengan sepasang baju baru dan keperluan yang lain.
Bagi yang berkemampuan ia mungkin tidak memberi masalah namun bagi ibu bapa yang berpendapatan sederhana dan rendah ditambah lagi memiliki anak yang ramai dan bersekolah, keadaan itu sangat membebankan.
Diakui bahawa pada zaman sekarang tidak seperti 20 atau 30 tahun lepas, semua harga barangan atau perkhidmatan telah berlipat kali ganda lebih tinggi.
Kalau dahulu, anak-anak dibekalkan wang saku RM2 tetapi sekarang harga nasi lemak sahaja melebihi harga itu.
Keadaan ini menuntut ibu bapa supaya bersikap lebih 'berkira' dengan anak-anak mereka selain mengamalkan sikap berjimat cermat.
Menurut Pengasas Hijrah Wealth Management, Rohani Shahir, ada banyak kaedah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa dalam mendepani permasalahan sebegini.
Antaranya adalah mengajar anak-anak untuk faham dan mengamalkan budaya berjimat cermat dan tidak bermewah-mewah.
"Dalam situasi ini kita perlu mendidik mereka supaya tidak terikut-ikut gaya berbelanja besar seperti rakan-rakan yang berada, sebaliknya berbelanja sekadar berpada-pada dan mengikut kemampuan diri,'' ujarnya.
Dalam situasi sedemikian katanya, ajarlah anak-anak supaya berjimat cermat dan tidak terlalu mengikut hati membeli keperluan.
"Didiklah anak-anak supaya membeli barangan yang perlu sahaja dan tidak membazir, sekiranya barang lama boleh digunakan, apa salah terus digunakan,'' ujarnya lagi.
Katanya lagi, banyak cara untuk menjimatkan belanja kita kita benar-benar mahu berbuat demikian, kepada keluarga besar, buku abang atau kakak misalnya boleh digunakan lagi, begitu juga dengan pakaian seragam sekolah yang masih elok digunakan.
"Jika baju masih elok, tidak salah kalau 'ditukar milik' kepada adik pula,'' ujarnya lagi.
Dalam situasi itu, beritahu anak-anak bahawa barangan tersebut masih elok dan masih boleh digunakan.
Keadaan ini katanya, sekali gus mendidik anak-anak supaya berjimat cermat dan juga bertolak ansur sejak daripada kecil lagi.
Dalam masa sama, beritahu mereka tentang keadaan sebenar iaitu dalam situasi ekonomi tidak menentu, anak-anak perlu dilatih supaya mengetahui 'aliran tunai' duit perbelanjaan mereka.
Dengan cara ini, anak-anak faham jika duit keluar itu lebih banyak daripada duit masuk, ini menunjukkan bahawa mereka mungkin perlu menyingkirkan apa-apa pembelian barangan yang tidak patut dan merugikan.
Kaedah ini juga boleh melatih anak-anak supaya mempunyai wang simpanan untuk tujuan kecemasan dan keperluan terdesak pada masa hadapan.
Sementara itu, pensyarah, Sekolah Pengajian Pengurusan, Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Noor Hilyati Alilah pula berpendapat, sikap ibu bapa sebenarnya mencorakkan keperibadian anak-anak.
Dalam situasi ini, ibu bapa perlu bersikap lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menguruskan keperluan anak-anak.
"Dalam situasi membeli keperluan anak-anak, ibu bapa disaran supaya menyimpan keperluan itu daripada awal tahun lagi.
"Tidak salah, kalau ibu bapa membuat simpanan dari awal tahun lagi, keadaan ini menjadikan wang yang disimpan itu boleh digunakan pada akhir tahun yang sememangnya memerlukan kos yang sangat tinggi.
"Jika RM50 sebulan disimpan, pastinya jumlah tersebut sudah memadai untuk keperluan dua orang anak, keadaan ini juga membuatkan ibu bapa sendiri tidak perlu mengeluarkan kos lain untuk membeli keperluan sekolah anak-anak,'' katanya lagi.
Katanya lagi, keadaan itu juga membuatkan ibu bapa tidak 'pening kepala' untuk memikirkan untuk mencari dana lain untuk tujuan membeli keperluan persekolahan anak-anak.
Dalam pada itu, beliau juga turut menyarankan supaya ibubapa membuat persediaan secara berperingkat-peringkat,
Keadaan itu, tegasnya membuatkan ibu bapa tidak perlu mengeluarkan kos yang banyak untuk membuat keperluan anak-anak.
"Tidak salah kalau membuat persediaan awal dan membeli sedikit demi sedikit sejak awal lagi untuk keperluan anak-anak, keadaan ini sebenarnya mampu mengurangkan kos,'' katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: