Friday, December 30, 2011

Memasak dengan Chef Rohani




SERAMAI 16 peserta yang merupakan rakan perniagaan produk Maggi berpeluang menyertai bengkel memasak bersama pakar perunding makanan terkemuka, Chef Rohani Jelani anjuran Nestle (Malaysia) Bhd. di Bayan Indah, Kampung Palimbayan Indah, Sungai Penchala, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sepanjang bengkel itu, para peserta diajar cara-cara menyediakan masakan secara profesional dengan menggunakan Maggi Splendid 4 selain mengajar cara-cara penghidangan makanan secara profesional.

Bengkel tersebut yang diketuai Chef Rohani mengajar 16 peserta memasak makanan Barat seperti deep dish lamb, vegetable pie dan chicken involtini.

Salah seorang peserta, Izriq Zamri, 22, berkata, bengkel itu banyak mendedahkan mengenai teknik dan petua untuk menghidangkan makanan secara profesional.

“Menerusi bengkel ini, banyak ilmu yang kami pelajari bersama chef. Kami diberikan panduan memasak serta cara-cara penyediaan masakan secara profesional.

“Saya rasa bertuah kerana terpilih dalam program yang diadakan oleh Nestle ini,” katanya ketika ditemui Kosmo!.


KEBANYAKAN peserta terpilih mempunyai latar belakang chef namun, ingin menambahkan lagi kemahiran memasak.


Di sebalik jawatan ketua chef yang sudah pasti sibuk dengan tugasnya itu, Izriq sanggup menyertai bengkel itu semata-mata mahu menimba ilmu memasak bersama chef.

“Saya sudah berkecimpung dalam bidang ini sejak 13 tahun lalu namun, saya sentiasa mencari peluang dan ruang untuk memperbaiki bidang memasak agar pelanggan berpuas hati dengan hasil masakan saya.

“Untuk itu, saya sering kali menghadiri bengkel-bengkel seperti ini untuk menambah baik mutu masakan saya,” katanya yang kini berkhidmat di restoran Big Plate, Taman Subang Permai.


PANEER (kanan) mengakui tunjuk ajar yang diberikan oleh Chef Rohani sangat berguna biarpun dia sendiri sudah mempunyai pengalaman 12 tahun memasak.


Bagi S. Paneer, 32, penyampaian dalam bengkel tersebut cukup berkesan kerana mereka bukan sekadar mendengar secara teori bahkan, mempraktikkannya.

“Dengan cara ini kami lebih faham dan boleh belajar melalui kesilapan dan penganjuran bengkel tersebut memberi ilmu memasak yang baharu,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nestle Profesional, Aleena Abdullah berkata, penganjuran bengkel itu merupakan julung-julung kalinya diadakan untuk memberi peluang kepada chef dan pengusaha restoran atau hotel tampil bersama untuk mencari penemuan baharu.

“Oleh itu, buat permulaan kita memilih 16 peserta yang kebanyakannya dari Lembah Klang, Seremban dan Melaka. Pemilihan ini berdasarkan kesetiaan mereka terhadap produk kami,” ujarnya sambil memberitahu bengkel itu diadakan secara percuma.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: