Thursday, December 29, 2011

Harapan baru pengurusan sisa pepejal negara


Mohd. Zain Hassan (kiri sekali) bersama penduduk menunjukkan tanda bagus pada majlis penyerahan tong sampah baru secara percuma bertempat di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Air larut resap (leachate) meleleh sepanjang jalan, masa kutipan tidak mengikut jadual ditetapkan, sampah bertaburan, bau memualkan dan pandangan menjijikkan.

Itu adalah antara rungutan masyarakat terhadap perkhidmatan yang diberikan syarikat konsesi negara dalam menjalankan kewajipan memungut sisa pepejal di kawasan perumahan dan sebagainya.

Tidak pernah lekang di bibir masyarakat akan bait-bait kata mengeksplisitkan ketidakpuasan hati perkhidmatan syarikat konsesi negara sama ada dalam kalangan jiran, rakan sepejabat mahupun penggunaan media.

Namun demikian, penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 pada 1 Septemper lepas, seolah-olah memberikan harapan baru kepada masyarakat dan negara.

Menerusi penguatkuasaan akta ini, kesemua mata ditumpukan khusus kepada peranan syarikat konsesi dalam mengevolusikan perkhidmatan ditawarkan kepada masyarakat.

Impian masyarakat melihat transformasi bersifat holistik yang diinginkan selama ini agar tiada lagi senario sedemikian serta matlamat negara mencapai status negara maju, diyakini dapat direalisasikan menerusi pelaksanaan akta berkenaan.

Akan begitu, ia merungkai kepada persoalan adakah syarikat konsesi seperti Alam Flora sudah bersedia dalam perjalanan misi itu?

Masakan tidaknya, pengurusan sisa pepejal kepada Alam Flora telah bermula sejak 1997 lagi, bermakna usia tanggungjawab syarikat konsesi ini kepada negara sudah mencecah 14 tahun.

Bukan satu masa yang singkat, kerana sepanjang tempoh itu adalah sewajarnya pengurusan sisa pepejal bagi kawasan yang dipertanggungjawabkan kepada Alam Flora sudah mencapai tahap memberangsangkan namun ia masih lagi disusuli dengan pelbagai rungutan.

"Penswastaan secara interim telah berlangsung selama 14 tahun bermula 1997 lagi di bawah pemantauan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan). Sebelum itu, pengurusan sisa pepejal adalah di bawah kelolaan PBT.

"Dengan terlaksananya penswastaan ini, (pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007), kini pihak PBT lebih fokus menjalankan pelbagai tugas seperti kutipan cukai bangunan, isu buat jalan, lampu rosak tanpa fokus pada isu sampah lagi," kata Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd. Mohd. Zain Hassan kepada Bernama sambil tidak mahu menyalahkan sesiapa akan senario pengurusan sisa pepejal sebelum ini.

Mungkin disebabkan kepelbagaian tugas yang dibahukan ke atas PBT, menyebabkan usaha pemantauan terhadap isu pembuangan sampah tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.

Bagaimanapun, tidak lagi menerusi penguatkuasaan akta ini.

Menerusi akta itu, bukan sahaja kerajaan dapat menguatkuasakan pelaksanaan penswastaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal isi rumah dan pengambilalihan pengurusan daripada PBT malah ditetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lebih ketat kepada syarikat konsesi yang dilantik.

Alam Flora yang bertanggungjawab terhadap kawasan tengah dan timur Semenanjung Malaysia, merangkumi seluas 63,000 kilometer persegi, berusaha mengubah pengurusan sisa pepejal secara berperingkat-peringkat.

"Sekarang ini kita akan dipantau oleh satu badan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu PPSPPA (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) yang difahamkan mempunyai lebih 1,000 pegawai yang akan memantau dari segi kualiti kerja kami.

"Ketika ini, Alam Flora diberi satu tahun grace period ataupun peralihan bermula 1 September lepas sehingga akhir Ogos tahun depan.

"Semasa proses peralihan ini Alam Flora bertanggungjawab menyediakan kenderaan baru, membeli dan mengedar tong sampah baru kepada masyarakat.

"Menjelang 1 September 2012, bermulalah tahun pertama untuk Alam Flora menjalankan 30 peratus kawasan yang dikenakan KPI baru merangkumi enam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kuantan, Pekan dan dua lagi PBT yang dicadangkan untuk diambil alih pada tahun hadapan iaitu Kuala Terengganu dan Kota Bahru," katanya.

Tambah Mohd. Zain, proses peralihan yang berakhir 2015 akan menyaksikan kesemua 32 kawasan (tidak termasuk Selangor) di bawah penyeliaan Alam Flora akan menggunakan KPI penswastaan penuh yang lebih ketat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: