BUKAN mudah menyiapkan hidangan enak untuk keluarga setiap hari apatah lagi menghasilkan sesuatu yang kreatif dan lazat selama 30 hari berturut-turut.
Namun inilah cabaran yang telah disahut oleh 10 penulis blog dari Malaysia, Indonesia, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dalam cabaran yang dinamakan Jelliryfic.
Mereka menyahut cabaran mencipta pelbagai resipi baru dan kreatif menggunakan acuan jeli pewter dari Royal Selangor selama 30 hari berturut-turut.
Acuan jeli tersebut direka eksklusif untuk syarikat pewter berprestij itu oleh pereka Inggeris, Nick Munro dengan tema Cinta, Kehidupan dan Jenaka.
Cabaran yang diberi nama Siapkan Jeli Anda dalam 30 Hari telah diadakan sempena bulan kesedaran tentang kanser payu dara pada Oktober lalu.
Penulis blog diberi hama Hunger Hunger yang juga ibu kepada tiga anak, Terri Ng muncul sebagai juara.
Wanita berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu, telah mencipta resipi yang unik dan mempunyai sentuhan peribadinya sendiri.
"Walaupun sibuk dengan urusan harian saya akan pastikan saya menghasilkan jeli yang cantik sempurna. Jika tidak berpuas hati saya akan menghasilkan cubaan kedua, ketiga sehingga saya benar-benar berpuas hati dengan rekaan yang dihasilkan," jelas suri rumah ini.
Terri berkata, dia sungguh gembira dan sangat berterima kasih kepada pembaca dan pengikut setia blognya yang telah memberi banyak cadangan serta sokongan sepanjang pertandingan tersebut.
"Walaupun kami tidak pernah bertemu, semangat dan kepercayaan yang para pembaca blog saya beri begitu meyakinkan dan saya sedaya upaya tidak mahu mengecewakan mereka," katanya.
Menceritakan pengalamannya sepanjang pertandingan tersebut, Ng sentiasa mencabar dirinya untuk menghasilkan resipi yang bagus menggunakan acuan jeli dari Royal Selangor.
Dua daripada 30 rekaan unik dan istimewanya adalah puding Krismas yang dihias menyerupai pokok krismas dan Dragon' s Jelly.
Untuk Dragon's Jelly yang dicipta sempena sambutan Halloween, Ng telah menggunakan buah longan bagi mendapatkan efek biji mata.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Billy Law, seorang warga Australia yang dilahirkan di Malaysia dan bekas peserta Masterchef Australia.
Law yang sememangnya pakar dalam penghasilan pencuci mulut, begitu teruja menghasilkan inovasi untuk jelinya.
Untuk ciptaan pertamanya yang diberi nama Jeli Susu Kacang Soya, Law telah membuat sebuah video yang menunjukkan jeli tersebut menjalani 'ujian getar' dengan meletakkannya di atas sebuah penguat audio.
Law cukup konsisten dengan mencipta sebuah pencuci mulut setiap hari dan kesemuanya menjalani 'ujian getar'.
Kedua-dua pemenang ini hadir pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Royal Selangor, Kuala Lumpur.
Pada majlis tersebut mereka turut berkesempatan berkongsi pengetahuan bersama para tetamu yang hadir dengan mengendalikan bengkel membuat jeli.
Sementara itu, Pengurus Besar Royal Selangor International, Yong Yoon Li berkata, pihaknya cukup gembira dengan kempen cabaran melalui Internet yang pertama kali dilaksanakan itu.
"Dengan kejayaan cabaran ini kami akan meneruskan lagi kempen menerusi Internet pada masa akan datang.
"Setiap penulis blog telah menunjukkan dedikasi terhadap pertandingan ini. Mereka berjaya menggunakan acuan jeli tersebut untuk mencipta pelbagai jenis hidangan," ujarnya.
Dalam pada itu Royal Selangor juga akan mendermakan sebanyak RM80 daripada setiap jualan acuan jeli yang berharga RM290 kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara.
Acuan jeli ini juga boleh dibeli di kedai jualan Royal Selangor dan juga di laman web www.royalselangor.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: