Thursday, December 29, 2011

Rakyat Terengganu banjiri Karnival Hijrah


Aksi kumpulan nasyid Al Mawlid menghiburkan pengunjung karnival hijrah di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


Karnival Hijrah 2011 mencatatkan sejarah apabila lebih 200,000 pengunjung membanjiri Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu sepanjang tiga hari ia berlangsung mulai 22 Disember lalu.

Karnival yang julung kali diadakan itu adalah anjuran bersama Jabatan Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman dan TV AlHijrah.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan karnival tersebut yang berjaya menarik penyertaan masyarakat dari seluruh negeri itu.

Acara kemuncak adalah konsert Hijrah yang bersiaran secara langsung di pentas utama Karnival Hijrah, tepat pukul 9 malam Sabtu lalu.

Antara artis tanah air yang membuat persembahan adalah kumpulan nasyid Al Mawlid, Yassin, UNIC, Rabbani, Aisyah, Nora, Jay Jay, Ustaz Zul (kumpulan Visa), Amin (Adik-Adikku) dan ramai lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda berpuas hati dengan sambutan yang amat menggalakkan oleh penduduk Terengganu.

"Terima kasih juga diucapkan kerana ramai penduduk Terengganu yang sentiasa mengikuti program-program TV AlHijrah.

"Ini dapat dilihat apabila mereka mengenali dan berinteraksi dengan hos-hos program kami di sepanjang Karnival Hijrah," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Kemaman, Zulkifli Ahmad menyifatkan karnival itu memberi banyak manfaat terutama bagi mereka yang mahu mendekati stesen televisyen Islam pertama di negara itu.

Selain itu, katanya, ia juga memberi pendedahan kepada pelbagai agensi agama di bawah JPM dan juga dapat mengenali Jakim dengan lebih dekat.

"Saya sempat melawat gerai Pameran Jakim, Tabung Haji, dan menyaksikan rakaman 30 Minit bersama Ustaz Don," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: