Thursday, December 8, 2011

Konsert alam maya

YUNA pada sidang media konsert mayanya.
YUNA pada sidang media konsert mayanya.
Yuna artis pertama Malaysia menyanyi di hadapan 10,000 peminat secara online

KEHADIRAN wanita muda bertudung ini dalam arena seni muzik tanah air sememangnya kian dirasa. Bukan sekadar memiliki vokal yang begitu unik, bahkan dia juga mempunyai bakat hebat dalam ciptaan lagu.
Pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-18 bulan lalu, dia dinobatkan pemenang trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu dan lebih membanggakan, dia juga menerima Anugerah Kembara, hasil usahanya mengembangkan sayap seni ke luar negara, terutama ke Amerika Syarikat (AS).
Saat ini, Yuna bernaung di bawah Fader Label, New York, dan sudah pun muncul bersama album berjudul Decorate bersama syarikat berkenaan.

Baru-baru ini pula, Yuan melakar kejayaan dengan menyaksikan dua lagunya, Gadis Semasa dan Penakut, mara ke Anugerah Juara Lagu 26 yang akan berlangsung pada penghujung Januari depan.

Tuah Yuna berterusan apabila dia juga turut disenaraikan pada peringkat awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 dalam kategori Penyanyi Wanita Popular. Harus diingat, Yuna ialah pemenang kategori berkenaan bagi edisi ke-24 anugerah yang cukup berprestij itu.

Gadis ini membuktikan, dengan imej bertudung sekali pun, jika disertakan bakat dan kesungguhan, sesiapa saja boleh menerima. Dia sendiri bukan hanya diterima baik di negara kelahiran sendiri, malah sedikit demi sedikit mencipta nama di negara orang.
Terbaru, Yuna disunting syarikat telekomunikasi terkenal, Maxis Berhad, untuk menjayakan konsert secara alam maya. Penyanyi dan pencipta lagu kelahiran Alor Star, Kedah ini muncul artis pertama Malaysia yang terpilih mengadakan konsert secara virtual, yang bakal disaksikan 10,000 pelanggan bertuah.

Hanya dengan mendaftar di laman sosial seperti Facebook dan Twitter, 10,000 pelanggan Maxis yang menggunakan nombor rangkaian syarikat itu secara automatik berhak menyaksikan konsert julung kali seumpamanya itu.

Malah, cuma dengan mengisi nama, alamat e-mel dan nombor telefon, pelanggan perkhidmatan terbabit dapat menyaksikan konsert Yuna yang akan diadakan pada 14 Disember ini, pada jam lapan malam.

Bertemu gadis yang terkenal dengan lagu Dan Sebenarnya ini pada majlis pelancaran Konsert Alam Maya Yuna bersama Hotlink baru-baru ini, dia yang menganggap peluang itu cukup unik nyata sungguh teruja untuk menikmati sendiri pengalaman bertemu peminat di alam maya.

“Saya bertuah kerana dipilih untuk mengadakan konsert maya ini. Pastinya saya gembira dan saya tetap memastikan persediaan adalah sama seperti mengadakan persembahan secara langsung dengan peminat. Dari segi pakaian, persediaan dan juga persembahan serta alatan muzik, ia sama saja seperti mengadakan konsert biasa.

“Begitupun, jumlah dan lagu apa yang akan dipersembahkan nanti masih dalam peringkat perbincangan. Istimewanya juga apabila saya akan menyanyikan single terbaru saya dalam konsert itu nanti. Durasi masa persembahan juga belum ditentukan.

“Kiranya juga, album saya turut dirasmikan dalam laman web berkenaan,” katanya sambil memberitahu, dia langsung tidak rasa berdebar atau gemuruh untuk mengadakan konsert seperti itu.

Kata wanita tinggi lampai ini, konsert yang membolehkan peminat melihat realiti di belakang tabir persembahan itu juga dilihat sebagai medan untuk melahirkan pembaharuan dalam kerjaya seninya.

Tak pernah berubah

SEMENTARA itu, ketika diajukan pertanyaan apakah dia dapat berasakan perubahan pada dirinya selepas memenangi pelbagai anugerah sejak akhir-akhir ini, Yuna tenang memberitahu, dia tetap Yuna yang sama dan sesekali tidak berasakan dirinya seperti kacang lupakan kulit.

“Tidak. Saya tetap menjadi diri saya. Saya juga tidak akan lupa diri kerana kejayaan hari ini adalah daripada sokongan peminat. Terpulanglah kepada peminat untuk menilai perubahan diri saya selepas ini. Saya tetap merasakan saya adalah Yuna yang dulu. Cuma saya lebih matang dan membesar dalam persekitaran yang berbeza.

“Maksudnya saya tidak bolehlah terus bersikap kebudak-budakan dengan peningkatan usia saya, tetapi tidaklah ke arah yang negatif. Saya pun sudah menginjak usia 25 tahun. Harap peminat dapat terima diri saya dan saya sentiasa berdoa untuk menjadi lebih baik. Dengan kurniaan rezeki Allah, saya pasti akan berjaya.

"Lagipun, saya rasa peminat kenal benar dengan saya kerana kejayaan yang saya tempa hari ini bukan diperoleh daripada perjalanan yang mudah,” katanya sambil mengimbau kembali episod lalu, tatkala pernah menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Mengulas pencalonannya buat kesekian dalam dalam kategori Penyanyi Wanita Popular ABPBH 2011, Yuna menganggap ia satu kejayaan buatnya.

“Saya pernah menang Artis Baru Wanita Popular ABPBH2009 dan menang trofi Penyanyi Wanita Popular pada edisi yang lalu. Semestinya ada pengharapan untuk menang lagi, tetapi semua itu saya anggap sebagai rezeki Tuhan. Anugerah itu juga sudah membuatkan nama saya diingati dan penghargaan kepada kerjaya seni saya.

“Ia satu anugerah yang membantu melebarkan sayap saya dan diharapkan terus mendapat sokongan peminat. Terima kasih peminat dan ABPBH yang terus menyokong kerjaya seni saya. Alhamdulillah, saya cukup bersyukur atas pencalonan awal itu. Saya terima apa saja kejayaan yang mengiringi pencapaian saya selepas ini, malah mahu terus maju,” katanya yang sekali lagi menguji pasaran AS menerusi album baru.

Menurut Yuna, album baru itu akan muncul pada Mac tahun depan dan akan menemui peminat dalam dua versi. Versi luar negara memuatkan lagu berbahasa Inggeris dan di Malaysia pula ia menemui peminat dalam versi bahasa Melayu.

Sebelum temubual bersamanya tamat, Yuna sempat berpesan, kepada pelanggan Maxis dan peminatnya yang mahu menyaksikan konsertnya itu, mereka boleh mendapat keterangan lanjut di https://www.facebook.com/Hotlink atau www.nowyoucan.my/Yuna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: