Thursday, December 29, 2011

Siswazah Indonesia ke tali gantung


MAGGIE dibawa keluar dari Mahkamah Alor Setar, Kedah semalam selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati.


ALOR SETAR – Seorang siswazah sebuah universiti dari Indonesia menangis teresak-esak apabila dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar sebanyak 841.63 gram dadah di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam dekat sini pada tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas Maggie Taissya Olyvia, 27, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh rakyat Indonesia itu.

Gadis itu yang merupakan siswazah jurusan perbankan dan pernah bekerja sebagai pegawai pemasaran di Jakarta disabitkan bersalah atas tuduhan mengedar sebanyak 656.15 gram heroin dan 185.48 gram monoacetylmorphines.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks CIQ Bukit Kayu Hitam dekat sini pada pukul 12.15 tengah hari pada 20 September 2010.

Maggie dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd. Zaki ketika menjatuhkan hukuman berkata, dalam keterangan pembelaan, tertuduh mengaku mengetahui kewujudan sampul berisi dadah yang disembunyikan di dalam satu bahagian beg dibawanya tetapi tidak tahu jenis dadah tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: