Friday, December 30, 2011

SKM saran koperasi gabung

Datuk Md Yusof Samsudin
Datuk Md Yusof Samsudin

SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) menggalakkan gabungan koperasi di seluruh negara bagi mencapai matlamat suruhanjaya itu menubuhkan empat bank koperasi di negara ini menjelang 2020.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md Yusof Samsudin berkata, Bank Rakyat satu-satunya bank koperasi yang wujud hasil gabungan koperasi dan individu.


“Untuk itu, SKM menyasar untuk membuka tiga lagi bank koperasi menjelang 2020 bagi membolehkan setiap ahli mendapat lebih banyak faedah daripada segi persaingan dan penawaran daripada tiga institusi berkenaan.

“Setakat ini, SKM masih menjalankan penilaian ke atas koperasi yang mempunyai potensi diiktiraf sebagai bank koperasi hasil kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya pada Bisnes Metro, baru-baru ini.


Katanya, gabungan antara koperasi memberi manfaat kepada ahlinya apabila mampu untuk mengumpulkan dana modal secara makro yang membantu memperkasakan institusi koperasi itu sendiri.


“Tambahan, apabila gabungan ini dapat dilaksanakan ia memberi peluang kepada semua ahli untuk berkongsi pengetahuan memperbesarkan institusi melalui perniagaan yang sememangnya menjadi teras kepada kekuatan sesebuah koperasi.“Seterusnya, matlamat lebih penting ialah memperluaskan penguasaan pasaran koperasi itu sendiri di dalam negara kerana seperti yang diketahui koperasi sememangnya merangsang ekonomi negara,” katanya.


Yusof berkata, SKM turut menggalakkan koperasi di seluruh negara untuk memberi pinjaman antara satu sama lain seperti dilaksanakan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang memberi pinjaman kepada koperasi peringkat menengah iaitu di kalangan koperasi saja.“Untuk mencapai matlamat mewujudkan bank koperasi ini, SKM akan memohon semua koperasi untuk bergabung dan kami membuat penilaian ke atas kewujudan audit dasar bagi mengiktiraf koperasi berkenaan menjadi sebuah institusi kewangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: