Thursday, December 29, 2011

Panduan hotel mesra pelanggan Muslim


Selain makanan halal, hotel mesra Muslim perlu memiliki pakej termasuk petugas yang berpakainan menutup aurat. - Gambar hiasan


INDUSTRI perhotelan negara semakin berkembang seiring dengan pertumbuhan produktiviti pelancongan negara. Statistik Kementerian Pelancongan mencatatkan peningkatan kemasukan pelancong asing dari 10.2 juta (tahun 2000) kepada 24.6 juta orang (2010). Malah, jumlah ini sangat ketara di kalangan pelancong negara-negara Islam, terutama Timur Tengah iaitu peningkatan hampir empat kali ganda dalam tempoh enam tahun pada 2010.

Walaupun begitu, penawaran tempat penginapan terutamanya hotel yang mesra pengguna Muslim agak berkurangan. Isu-isu sensitif umat Islam seperti tanda arah kiblat, makanan halal, minuman keras, aktiviti pelacuran, perjudian, bilik persalinan, kolam renang terbuka dan sebagainya sering tidak dititik berat oleh pihak yang bertanggung jawab.

Justeru, sebagai panduan untuk mewujudkan hotel yang lebih mesra pelanggan Muslim, kita seharusnya kembali merujuk kepada al-Quran dan hadis yang cahaya panduan dalam setiap aspek kehidupan manusia. Walaupun bukan secara terus, namun suruhan, larangan dan pedoman wahyu menjadikan kita tidak hilang idea dalam perkara ini.

Reka bentuk dan ruang bilik air dan tandas, sama ada di kawasan hotel atau dalam bilik penginapan adalah suatu yang penting untuk diteliti. Secara asas, Rasulullah SAW melarang membuang air kecil atau besar dengan menghadap ke arah kiblat.

Justeru, hotel yang bercirikan Islam sepatutnya merancang lokasi dan pelan bilik air dan tandas supaya pelanggan tidak menghadap kiblat ketika qada' hajat.

Kemudahan bilik air seperti paip air untuk berwuduk atau beristinjak mestilah ada dan bukannya hanya diletakkan tisu semata-mata. Kelengkapan lain seperti kain basahan, peralatan kecil lain seperti berus gigi, ubat gigi halal dan seumpamanya disyorkan diwujudkan.

Ini secara langsung membantu pelanggan supaya mematuhi galakan mandi tidak berbogel dan sunnah sentiasa bersiwak.

Pihak hotel juga boleh menyediakan ruangan ibadah khas dalam bilik penginapan. Ruangan ini boleh dilengkapi dengan waktu solat, tikar, sejadah, telekung, ketayap, tasbih dan sebagainya bagi memudahkan pelanggan menunaikan ibadah. Selain itu, tanda arah kiblat adalah suatu kemestian selain disediakan naskah al-Quran dan terjemahannya untuk setiap bilik.

Suasana di sekeliling bilik penginapan, terutamanya ruangan solat janganlah dipenuhi dengan gambar-gambar yang boleh mengganggu konsentrasi solat.

Malah, Rasulullah SAW mengingatkan bilik dan ruang yang mempunyai gambar haiwan atau patung tidak akan dimasuki oleh malaikat rahmat.

Solat adalah wajib ditunaikan, terutama pada awal waktu dan dilakukan secara berjemaah. Justeru, pihak hotel perlu menyediakan surau atau bilik khas yang dijadikan musalla (tempat solat) dan lengkap dengan tempat wuduk. Ini sebagai langkah mesra Muslim bagi memberi kemudahan kepada pekerja dan pelanggan menunaikan solat lima waktu secara berjemaah.

Lebih baik lagi jika pihak hotel menyediakan imam, bilal dan siak yang bertugas setiap hari. Laungan azan pula bolehlah dikumandangkan pada setiap waktu solat. Malah, rutin hotel begini juga boleh mengelakkan jin jahat daripada berlindung kerana syaitan takut kepada azan.

Lokasi surau

Selain itu, papan tanda dan arah hendaklah jelas selain lokasi surau itu sendiri berada di tempat yang strategik untuk disinggahi oleh pelanggan. Surau atau musalla ini juga hendaklah sentiasa bersih, terjaga dan wangi.

Ruang dapur perlu diberi perhatian dalam industri hotel kerana salah satu piawai penilaian hotel adalah pada tahap kebersihannya. Makanan pula mestilah berkualiti, materialnya halal dan daripada sumber yang halal. Dalam hal ini, kebersihan ruang dapur dan kehalalan dan kualiti makanan amat perlu dititik beratkan.

Imam al-Ghazali menganggap aspek pemakanan adalah sebahagian daripada urusan agama. Ini juga selaras dengan pesanan al-Quran dan hadis yang sering menggandingkan istilah halal dan tayyib (baik).

Ia sebagai mana Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia, makanlah apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah mengikuti langkah-langkah syaitan; ia adalah musuh yang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)

Oleh itu, setiap hotel yang bercirikan Islam hendaklah memenuhi piawai halal yang ditetapkan dalam negara seperti garis panduan makanan dan minuman halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan piawai Standard Malaysia MS 1500:2009 (Makanan Halal : Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan - Garis Panduan Umum) Jabatan Standard Malaysia (DSM) di samping selari dengan Akta Perihal Dagangan 1972, GHP (Amalan Kebersihan Baik) dan sebagainya. Hotel dan dapur hotel bercirikan Islam juga mesti mendapat sijil halal.

Pihak hotel juga disyor memberi nilai tambah kepada ciri keislaman dengan menyediakan minuman dan makanan pencuci mulut daripada makanan yang disebut dalam al-Quran dan hadis seperti madu, zaitun, tin, delima, kurma, kismis dan habbatul sauda'.

Makanan atau minuman yang haram seperti arak tidak boleh disajikan kepada pelanggan. Restoran atau ruang makanan seperti di koridor bilik seminar atau dewan juga disyorkan mempunyai kerusi yang memadai untuk pelanggan. Ini bagi mengelakkan pelanggan makan dan minum secara berdiri yang bukan suatu yang digalakkan dalam sunnah Rasulullah SAW.

Industri perhotelan mempunyai struktur organisasi yang ramai, iaitu daripada pengurus hinggalah kepada tukang sapu. Namun, realitinya pihak hotel tidak menyediakan jawatan yang terlibat dalam urusan keagamaan.

Justeru, hotel bercirikan Islam sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya seorang Pegawai Agama yang boleh memberi justifikasi kepada sebarang perkara berkaitan hukum hakam. Pegawai Agama dan stafnya juga boleh berperanan melaksanakan dakwah dan amar makruf nahi munkar.

Justeru, pihak hotel perlu mengambil inisiatif mewujudkan Majlis Penasihat Syariah seperti dalam industri perbankan dan takaful negara. Ia boleh berfungsi menasihati, memantau serta mengenal pasti pelaksanaan urusan sama ada dari segi fizikal, makanan dan persekitaran sentiasa berada dalam piawaian syariah.

Hotel mesra Muslim juga wajib mempunyai kod pakaian yang selari dengan Islam. Para pekerja hotel dan rumah penginapan juga perlu menjaga etika ketika bertugas, mengawal pergaulan, personaliti selain bersikap prihatin dan jujur terhadap pelanggan.

Hotel yang bercirikan Islam juga bertanggung jawab ke atas perilaku dan aktiviti pelanggan. Justeru, hotel perlu memastikan pasangan lelaki dan perempuan yang menginap adalah pelanggan yang sah daripada segi hubungan syarak. Mereka yang belum berkahwin dan bukan mahram tidak boleh menginap dalam satu bilik.

Oleh itu, hotel sewajarnya meletakkan peringatan dalam pamplet, risalah, papan tanda dan seumpamanya tentang larangan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Selain itu, segala aktiviti dan makanan serta minuman haram seperti arak perlu disekat daripada dibawa masuk oleh pelanggan.

Industri perhotelan biasanya menyediakan pelbagai kemudahan sampingan kepada pelanggan seperti televisyen, kelab, kolam mandi, akhbar dan sebagainya. Sebagai hotel mesra Muslim, perkara ini juga perlu diberi pertimbangan supaya selari dengan syariah.

Justeru, televisyen sepatutnya mempunyai saluran informasi Islam dan hanya melanggan saluran bersesuaian seperti pendidikan, selain mengelak melanggan saluran yang tidak bermanfaat. Jadual waktu solat, senarai masjid dan restoran halal berdekatan hotel harus disediakan di kaunter hadapan untuk rujukan pelanggan

Kelab, pusat hiburan, pusat urut dan sebagainya sewajarnya dipisahkan antara lelaki dan perempuan selain tiada ruang untuk pergaulan bebas dan dalam suasana gelap.

Kolam renang pula wajib dipisahkan lelaki dengan perempuan di samping ingatan penggunaan pemakaian yang sesuai dengan syarak.

Selain itu, pihak hotel juga boleh mengadakan program keilmuan Islam dari masa ke semasa. Risalah dan pelekat peringatan seperti doa harian perlu diedar dan ditampal di tempat strategik serta berkaitan.

Program berkala seperti ceramah, kuliah dan bentuk tazkirah bukan lisan seperti di papan notis, banner dan sebagainya juga perlu diberi perhatian.

Penawaran mengikut kuasa pelanggan. Jika ramai pelanggan yang berkehendakkan begitu, pasti pengusaha hotel akan menawarkannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: