Saturday, December 31, 2011

Tenteram dengar suara isteri


PASANGAN bahagia ini dikurnia empat cahaya mata lelaki.


"KEBAHAGIAAN isteri merupakan perkara paling penting bagi saya. Saya tidak akan bahagia jika isteri tidak bahagia. Ketenangan fikirannya menjadi keutamaan bagi saya kerana apabila isteri bahagia dan tenang, dia dapat menjaga rumah tangga dan anak-anak dengan baik,'' demikian kata Chef Abdul Muluk Rambli, 48, atau dikenali sebagai Chef Muluk sahaja.

Menurut Chef Eksekutif Maggi yang pernah diundang dalam program realiti televisyen Masterchef ini, hubungannya bersama isteri sangat rapat seperti pasangan yang baru berkahwin.

Katanya, setiap hari, beliau perlu mendengar suara isterinya, Maimunah Bol Hassan, 47, walau di mana sahaja dia berada baik di dalam negara mahupun apabila bertugas di luar negara.

Walau macam mana tekanan yang dihadapi, tambah Chef Muluk, jika mendengar suara isteri, jiwanya akan tenteram dan tenang.

Chef Muluk yang berasal dari Bintulu, Sarawak bertemu jodoh dengan Maimunah yang berasal dari Kuching pada 4 Mac 1990. Pada waktu itu, beliau baru berumur 21 tahun, manakala isteri 20 tahun.

Pertemuan ketika sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuching, Sarawak membuahkan bibit cinta di antara mereka.

Chef Muluk mengikuti bidang Diploma dalam Latihan Chef sementara Maimunah pula Diploma Pengurusan Hotel dan Katering.

''Isteri saya adalah cinta pertama dan terakhir saya. Kami telah banyak mengalami asam garam kehidupan.

''Hubungan kami tidak banyak perbalahan kerana berlaku atas dasar kesetiaan, saling mempercayai dan cinta yang mendalam,'' ujar Chef Muluk lagi.

Sementara itu, kata Maimunah, suaminya itu merupakan seorang lelaki yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarganya.

Sejak berkawan, jelasnya, Chef Muluk amat rapat dengan kedua-dua ibu bapanya dan berperangai matang sehingga kedua-dua ibu bapanya amat menyayangi suaminya itu.

Hubungan mereka tidak banyak menghadapi cabaran cuma apabila berjauhan timbul perasaan cemburu, namun perasaan tersebut ditolak jauh-jauh kerana tidak mahu mengeruhkan suasana.

Menurut Chef Muluk lagi, mereka berdua akan cuba mengelakkan daripada perbualan yang boleh menyentuh perasaan kedua-dua pihak dan boleh menyebabkan perbalahan.

''Semasa baru-baru berkahwin dahulu, isteri tidak bekerja. Masanya banyak di rumah dan saya pula sibuk. Dia rasa terabai kerana apabila saya balik, saya dah letih. Sering kali juga dia merajuk.

''Daripada situ saya belajar memahami perasaannya. Kini kalau di rumah, saya akan fokus pada isteri sahaja. Kawan-kawan pun jarang datang ke rumah. Kalau saya hendak keluar jumpa kawan-kawan, masa kerja sahaja kerana bila balik ke rumah, saya tidak akan keluar lagi.

''Sungguhpun demikian ini bukan bermakna saya kena queen control kerana ini adalah kehendak saya sendiri dan kerana kasih saya kepada isteri,'' ujar Chef Muluk yang telah bertugas di Maggi selama tujuh tahun.

Tugasnya banyak membawanya ke luar negara membuat promosi dan mewakili Maggi sehingga ke Switzerland, Belanda, Jerman, Los Angeles dan banyak lagi.

Beliau menambah, walaupun semasa berada di luar negara, mereka saling berhubung melalui khidmat pesanan ringkas. Beliau akan memberitahu setiap pergerakan dan di mana beliau berada.

Setiap pagi semasa di luar negara pula, isterinya akan mengejutkannya daripada tidur dengan memberikan 'wake up call.' Baginya apa yang penting ialah walau berjauhan, namun mereka tetap dekat di hati.

''Saya mempunyai ramai kawan tetapi saya paling suka berkawan dengan isteri saya dan bercakap dengannya.

''Doa saya adalah untuk bersama isteri hingga ke akhir hayat. Saya sukakan kehidupan yang ringkas, rumah yang mempunyai kawasan untuk bercucuk tanam, ada sungai, ingin melihat anak-anak berjaya dan sempurna dalam hidup,'' ujar Chef Muluk lagi.

Pasangan bahagia ini dikurniakan empat cahaya mata lelaki, iaitu Feerdaus, 20 tahun, Faezal, 17 tahun, Farouq, 15 tahun dan Faris, 11 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: