Cristina Suzanne

Bakatnya dalam bidang lakonan sememangnya masih belum teruji. Namun tidak hairanlah kerana figura cantik bernama Cristina Suzanne Stockstill boleh dikategorikan masih hijau dalam industri seni.

Namun gadis berusia 26 tahun ini tidak gentar untuk mengharungi pahit maung dalam industri seni dan percaya dia juga bakal mendapat kepercayaan penerbit serta pengarah.
Malah semangat dan kata-katanya itu terbukti apabila gadis berdarah kacukan Melayu-Jerman ini ‘dilamar’ pengarah popular, Osman Ali sebagai bintang utama drama terbaru, Bicara Hati yang akan disiarkan bermula 3 Januari ini, jam 9 malam, di Astro Prima.
Mengakui dirinya masih mentah dalam dunia lakonan, Cristina atau mesra disapa Cris berkata, dia mendapat tunjuk ajar serta bantuan daripada pengarah serta pelakon yang terbabit produksi itu seperti Shanaaz Ahmad, Marsha Milan Londoh, Abby Nadzri, Balkish dan Lash Mokhtar.
“Menerusi Bicara Hati, saya membawa watak sebagai Zahlia, seorang gadis yang lemah lembut selain suka melakukan kerja kebajikan. Dia tidak mudah marah, sebaliknya suka memendam perasaan.
“Memang pada awalnya agak mencabar juga untuk membawa watak yang banyak bermain emosi ini. Mujur saya mendapat dorongan daripada Abang Man (Osman Ali). Malah dia banyak membantu dari segi penghayatan watak.
“Ini pertama kali saya membawakan watak utama, sudah tentu cabarannya cukup kuat. Saya berharap penonton juga dapat menerima penampilan saya menerusi drama ini,” kata Cris yang tampil bertudung sepanjang membawakan watak Zahlia.
Menyentuh tentang penglibatan awalnya dalam bidang seni, Cris berkata, dia pernah bergelar pramugari selama tujuh tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerana mahu mencari arah tuju dalam kehidupannya.
“Sebelum in saya pernah berkhidmat sebagai pramugari bersama Penerbangan Malaysia (MAS) dan Qatar Airways. Namun, tujuh tahun menjadi pramugari saya mula terfikir tentang arah tujuan hidup saya.
“Kebetulan ibu mencadangkan saya memasuki Pilih Kasih musim kedua. Tidak sangka jodoh saya lebih kuat dalam industri seni,” katanya ramah.

Pernah bekerja dengan Eirma
Mengulas pembabitannya dalam lakonan yang seterusnya dijadikan kerjaya baru, Cris berkata, dia terlibat secara serius dalam bidang seni bermula Mac tahun ini.
Malah Cris juga pernah bekerja dengan Eirma Fatima pada 2004, sehingga menimbulkan bibit-bibit cintanya dalam bidang seni.
“Saya dan Kak Eirma berkenalan melalui MySpace apabila saya yang memulakan perkenalan dengan mengundangnya menjadi rakan laman sosial saya itu.
“Kemudian Eirma melamar saya untuk berlakon drama arahannya iaitu Cermin Pada Bulan. Namun saya akur, yang saya tidak boleh membuat kerja dalam satu masa yang mana ketika itu masih seorang pramugari,” katanya yang pernah berlakon dalam drama Kasih Najihah dan Dia Bukan Maryam, kedua-duanya disiarkan di TV9.

Selesa guna nama sebenar
Cris yang sebelum ini menggunakan nama Kris Cempaka memilih untuk kembali menggunakan nama sebenarnya kerana nama itu menyimpan banyak nostalgia pada dirinya.
“Nama Kris Cempaka itu diberi oleh produksi Pilih Kasih. Memang saya hargai dengan panggilan itu yang memikirkan nilai komersil untuk saya mudah dikenali. Namun selepas keluar dari program itu, saya mahu menggunakan nama sebenar kembali walaupun saya masih mahu berada di dalam dunia lakonan ini.
“Saya sebenarnya tidak selesa dengan nama glamor, apa pun saya harus juga hargai nama yang sudah diberikan oleh keluarga saya,” akhirinya.