PETALING JAYA: Penyanyi Faizal Tahir terkejut apabila namanya diumumkan sebagai salah seorang daripada enam mentor terpilih bagi program Mentor musim keenam yang bakal diadakan pada tahun hadapan.
Pengumuman tersebut dilakukan pada sidang media khas pelantikan enam mentor bagi musim tersebut termasuklah Ramlah Ram, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Ella, Adam dan Ferhad di Sri Pentas TV3, di sini, Rabu.
Faizal berkata, dia sebenarnya masih lagi berfikir dengan tawaran untuk menggalas tanggungjawab sebagai mentor kepada bakat-bakat baru dan tidak memberi apa-apa kata putus kepada pihak TV3 tetapi tidak sangka namanya terus dipanggil pada pengumuman tersebut.
"Sebenarnya saya berada di Sri Pentas pada hari ini (Rabu) untuk membincangkan mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL) dan tidak sangka pula selepas itu saya menyertai sidang media ini kerana saya belum membuat apa-apa lagi keputusan (mengenai Mentor).
"Bagaimanapun, saya terima pemilihan ini. Memang pada mulanya saya enggan sertai Mentor 6, tetapi penerimaan tawaran ini juga bukan kerana terpaksa. Saya akan buat sedaya yang mungkin," katanya.
Beritahu penyanyi yang popular dengan lagu “Karma” ini, keengganannya melibatkan diri dalam program popular tersebut adalah kerana tahap keyakinan diri untuk mengajar protege baru agak kurang.
Malah, Faizal tahu, mengasah bakat seseorang bukannya mudah, malah memerlukan strategi dan kesabaran yang sangat tinggi.
"Bukan mudah untuk mendapatkan seseorang protege seperti yang diinginkan. Malah, tahap keyakinan saya untuk mendidik seseorang juga agak kurang kerana saya sendiri masih lagi bertatih dalam bidang muzik ini.
"Saya selalu meletakkan satu tahap yang tinggi untuk diri sendiri setiap kali beraksi, inikan pula seorang bakat baru yang akan berada di bawah saya. Lebih menakutkan ialah, saya risau jika tidak dapat mencari protege seperti yang diinginkan. Saya mahu cari seseorang yang lebih daripada seorang juara," tegasnya.
Uji bakat Mentor 6 akan berlangsung bermula di negeri Sabah dan Sarawak iaitu pada tarikh 13 Januari depan di Hotel Promenade, Tawau, dan 15 Januari (Hotel Promenade, Kota Kinabalu), 20 Januari (Hotel Imperial, Miri) serta 22 Januari di Hotel merdeka Palace , Kuching.
Pada bulan Februari pula, uji bakat bersama setiap mentor akan diadakan di Sri Pentas TV3 melibatkan Fauziah Ahmad Daud atau Ogy (4 Februari), Faizal Tahir (5 Februari), Ramlah Ram (11 Februari), Ferhad (12 Februari), Ella (18 Februari) dan Adam AF (19 Februari).
Sementara itu, Ogy pula sudah bersedia untuk menerima segala kritikan pedas yang mampu membakar semangatnya untuk terus mendidik protege yang bakal dipilihnya nanti.
"Memang ketika bekerja saya seorang yang sangat tegas dan protege yang dipilih perlu mengikut kriteria-kriteria seperti yang diinginkan seperti boleh bermain alatan muzik dan paling penting, membaca nota muzik.
"Apabila mereka tahu dua perkara ini, ia lebih memudahkan saya mengasah bakat mereka menjadi yang terbaik. Dan ya, kritikan pedas yang diberi oleh juri juga saya sudah bersedia untuk menerimanya," seloroh Ogy.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: