rahani

KOTA BHARU – Seorang ibu yang sedang hamil anak kelima dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memiliki dadah, 22 Disember lalu.

Pertuduhan terhadap Rahani Zali, 30, dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan tuduhan itu, Rahani dari Kampung Gatal, Kuala Krai didakwa memiliki dadah metamphetamine dengan anggaran berat 4.2 gram di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Buloh Poh, Ketereh di sini, pada jam 1 tengah hari, 22 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Raya, Cif Inspektor Saiful Nizam Misbah.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Ghazaly, bagaimanapun hukuman terpaksa ditangguhkan berikutan menunggu laporan kimia berat sebenar dadah tersebut.

Tertuduh dibenarkan diikat RM5,800 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Saiful Nizam menawarkan jaminan RM6,000 tetapi dirayu tertuduh supaya jaminan itu dikurangkan.

“Saya mohon kurangkan jaminan kerana saya mempunyai empat anak yang masih kecil dan kini sedang mengandung anak kelima,” katanya.

Kes disambung semula 29 Januari tahun depan.