|
|
MENGANGKAT kisah sebenar seorang wanita yang berkahwin sebanyak tujuh kali, drama 7 Gerhana terbitan syarikat pelakon Hans Isaac, Tall Order Productions, dikatakan sekadar memberi pendedahan dan pengajaran kepada orang ramai bukan bertujuan mengaibkan individu terbabit.
Paparan kisah benar itu dikatakan dialami sendiri seorang rakan kepada pengarah urusan Tall Order Productions yang juga merangkap pelakon, pengarah bersama dan penerbit drama 7 Gerhana iaitu Hans Isaac.
Menurut Hans, dia terlebih dahulu sudah meminta kebenaran rakan wanitanya itu untuk memaparkan kisahnya dalam bentuk drama dan rakan wanitanya itu telah bersetuju.
“7 Gerhana ini adalah kisah sebenar yang terjadi dalam hidup kawan saya yang mana dia berkahwin sebanyak tujuh kali. Dia beri peluang kepada saya untuk buat cerita ini.
“Walaupun dia berkahwin sebanyak tujuh kali namun hampir semua lelaki yang berkahwin dengannya bukan atas pilihan sendiri. Sebaliknya adalah atas desakan keluarga dan penipuan lelaki-lelaki yang meminatinya,” ungkap Hans mengenai 7 Gerhana yang dilakonkan oleh pelakon hebat Vanida Imran.
Kenapa memilih Vanida, kata Hans, dia sudah mempunyai keserasian dengan pelakon hebat itu dan merasakan Vanida sangat layak memegang peranan Rozie dalam 7 Gerhana.
“Dalam banyak artis yang saya kenal Vanida memang boleh membawakan watak ini dengan baik,” katanya lagi.
Menurut seorang lagi pengarah 7 Gerhana, Amar Delon, watak Rozie yang berkahwin sebanyak tujuh kali ketika remaja dilakonkan oleh Andrea Abdullah sebaliknya watak Rozie ketika dewasa pula dilakonkan oleh Vanida Imran.
|
|
Ujar Amar, belum ada lagi sebuah drama yang menggambarkan wanita berkahwin sebanyak tujuh kali dan itu merupakan kekuatan bagi drama tersebut.
”Memang cerita ini lain daripada yang lain. Penonton akan beranggapan Rozie ini jahat tetapi sebenarnya tidak. Dia terlalu naif namun perkahwinan demi perkahwinan yang ditempuhinya sedikit sebanyak telah mematangkannya,” katanya mengenai drama keempat arahannya itu.
Ditanya mengenai cabarannya sepanjang mengarahkan drama tersebut, tutur Amar lagi, disebabkan kenal dengan individu sebenar yang berkahwin sebanyak tujuh kali dia tidak mahu penonton menganggap individu tersebut jahat seterusnya memburukkan nama individu tersebut.
Tambahnya, musim pertama 7 Gerhana menggambarkan tiga suami pertama Rozie dan perjuangan wanita ini bermula dari umur 17 hingga usianya mencecah 30 tahun.
Ia mengungkap kisah tentang kehidupan bersama ketiga-tiga suaminya itu daripada yang memadukannya tanpa pengetahuannya sehinggalah yang meninggalkannya pada malam pertama perkahwinan.
Selain Hans, Vanida dan Andrea 7 Gerhana turut dibintangi oleh Omar Abdullah, Zulkifli Ismail, Kay Maria, Riz Aminm Ery Zuhkairi dan Hafiz Halim.
Drama 7 Gerhana kini ditayangkan di Astro Prima saluran 105 setiap hari Rabu pukul 9 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: