Pengorbanan hidup seorang bapa tunggal bukanlah isu atau topik baru yang mewarnai penceritaan filem mahupun drama tempatan. Pelakon dan pengarah, Afdlin Shauki pada 2009 pernah tampil dengan karya diberi nama, Papadom,
Di Hollywood pula, jalan cerita memaparkan hubungan bapa dan anak juga pernah dijayakan Will Smith dan anak kandungnya, Jaden menerusi The Pursuit of Happyness pada 2006.
Kini, MIG Production Sdn Bhd tampil dengan kisah kekeluargaan menerusi Papa I Love You yang diarahkan oleh Hashim Rejab dan sudah menemui penonton di pawagam semenjak 29 Disember lalu.
Mencari keunikan filem Papa I Love You, barangkali keberanian David Teo selaku produser apabila memilih pendatang baru, Zalif mendukung watak Bahar sebagai teraju utama di samping Lisa Surihani dan Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan (Mia), 6.
Lazimnya, kisah sebegini bersandarkan pada nama besar aktor yang dihormati bagi menarik perhatian penonton seperti Shaheizy Sam bersama Lisa dan Mia Sara dalam Sekali Lagi.
Zalif atau nama sebenar, Wan Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 26, berkata setelah melihat keseluruhan filem berkenaan, dia berpuas hati dengan lakonannya kerana berasakan sudah memberikan lakonan yang terbaik.
"Papa I Love You merupakan filem pertama saya membawa watak utama. Sewaktu David menawarkan filem ini kepada saya, saya memang rasa terkejut dan berasakan ia adalah satu peluang yang tidak mungkin saya sia-siakan.
"Pada masa sama, tipulah kalau saya tidak bimbang akan risikonya. Namun, saya percaya kejayaan atau kegagalan sesebuah filem bukan pelakon sebagai penyebab semata-mata tetapi merangkumi pelbagai aspek.
"Malah, saya juga mendapat maklum balas dari laman sosial Facebook dan Twitter mengenai lakonan saya dan rata-rata berpuas hati selepas melihat filem berkenaan," katanya.
Watak Bahar cabar Zalif
Zalif yang juga mesra disapa dengan nama, Pooh mengakui filem ini turut mendatangkan cabaran tersendiri kerana dia perlu membawa watak sebagai bapa tunggal yang mempunyai seorang anak. Pada ironinya, Zalif belum pernah melalui pengalaman menjadi seorang bapa.
Katanya, pada hari pertama dan kedua penggambaran, dia sedikit kecewa kerana tidak dapat mendekati Mia. Namun Zalif cuba mengorek rahsia daripada Sein dan ibunya untuk mengetahui cara memikat kanak-kanak.
“Memang ia cabaran berat buat pelakon baru seperti saya yang belum cukup pengalaman. Nampak macam mudah tetapi buat saya, ia satu cabaran dan tugas berat. Saya belum berkahwin, apatah lagi melalui pengalaman bergelar ayah.
"Malah saya juga menonton filem The Pursuit of Happyness untuk menghayati watak Bahar ini. Selain itu, saya turut lakukan sedikit kajian dengan mendapatkan pandangan daripada Sein Ruffedge yang pernah berlakon dengan Mia dan Lisa menerusi drama Adamaya.
"Malah saya juga turut meminta pandangan ibu saya dan dia mencadangkan agar saya memberi coklat dan anak patung buat Mia. Alhamdulillah usaha saya itu berhasil apabila sedikit demi sedikit Mia boleh menerima saya dan saya boleh memegang serta memeluknya," katanya yang sehingga kini dipanggil Papa Pooh oleh Mia.
Zalif berkata Lisa juga banyak membantunya bagi mewujudkan keserasian dan juga menampilkan lakonan yang berkesan.
"Bagi saya, cabaran paling berat adalah babak saya berpegang tangan dengan Lisa kerana ketika itu saya memang berdebar-debar. Tetapi Lisa banyak mengajar saya sekali gus membantu membuang rasa debar itu," katanya.
Mahu kekalkan tubuh comel
Menyentuh mengenai karier seninya Zalif berkata, dia bakal tampil dalam filem Hantu Botol Kicap, 7 Petala Cinta, Ajinamoto, Budak Pailang dan Ajiboy selepas ini.
Biarpun masih baru, profil kariernya sudah boleh dibanggakan kerana sehingga kini Zalif sudah berlakon dalam tujuh buah filem. Meskipun berbadan comel, Zalif membuktikan masih ada tempat buat pelakon sepertinya menempa nama dalam bidang seni.
"Buat masa ini saya belum ada perancangan untuk menurunkan berat badan saya kerana saya memang selesa dengan bentuk badan saya. Saya tahu di Malaysia orang memang lihat rupa paras.
"Tetapi saya yakin orang berbadan comel seperti saya juga ada tempat di dalam industri dan individu seperti Angah Raja Lawak, Afdlin Shauki sudah membuktikan bahawa mereka juga boleh membawa apa sahaja watak biarpun berbadan besar," katanya optimis.
Di sebalik perwatakan Elly
Sementara itu, pelakon cantik Lisa Suriani mengakui karya ini amat dekat dengan diri Lisa kerana ia memaparkan hubungan baik antara bapa dan anak perempuan sebagaimana keakraban dirinya dengan arwah bapanya, Mohamed Mahbob.
Katanya, dia memilih untuk terbabit dalam filem ini kerana jalan ceritanya yang memaparkan kasih sayang di antara bapa dan anak perempuan. Bagaimanapun, terdapat dua situasi yang digambarkan iaitu hubungan baik Bahar dan Mia sementara dirinya sebagai Elly berdepan masalah dengan bapanya, Datuk Kudin watak dimainkan Zaidi Omar.
“Saya sepatutnya memanggil abang Zaidi Omar dengan gelaran, papa tetapi saya meminta izin kepada pengarah untuk memanggilnya daddy kerana itu panggilan saya buat arwah.
“Kebetulan abang Zaidi Omar berkulit cerah dan bermata kecil sama seperti daddy. Terkadang saya berasakan dia seperti bapa saya kerana terdapat banyak persamaan.
“Di alam realiti, hubungan saya dengan arwah daddy sangat baik, sebaliknya dalam Papa I Love You, saya sering terikat dengan babak pertengkaran dengan daddy saya. Salah satunya, saya mengacukan pisau kepadanya. Itu adalah sesuatu yang sukar untuk saya lakukan. Saya sakit hati apabila perlu berbuat demikian,” katanya.
Pernah menang Pelakon Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) dan Pelakon Wanita Terbaik FFM23, Lisa berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah bergandingan dengan Zalif kerana percaya keserasian itu perlu diwujudkan sebagaimana keserasian yang diwujudkan bersama pasangan layarnya sebelum ini, Farid Kamil dan Shaheizy Sam.
"Bagi saya setiap naskhah yang saya lakonkan adalah buku baru dan pengalaman baru buat saya. Saya tidak meletakkan diri saya sebagai pelakon senior atau sebagainya. Tetapi saya sama-sama duduk dengan Zalif dan berbincang untuk mewujudkan keserasian," katanya yang bakal memasuki set penggambaran filem Ular terbitan KRU Studios bulan depan.
Mula lakukan persiapan
Mengusik tentang persiapan perkahwinan yang bakal berlangsung kurang dua bulan lagi, Lisa mengakui sudah mula untuk melakukan persiapan. Namun masih belum ada perbincangan dibuat memandangkan dia dan Yusry agak sibuk buat masa sekarang.
“Setakat ini kami hanya tempah lokasi majlis pernikahan dan resepsi saja. Tentang persiapan lain, masih belum dibincangkan lagi. Tema dan konsep perkahwinan juga belum ditentukan sebab kami masih belum duduk berbincang mengenai perkara ini.
“Ada juga pihak yang menawarkan tajaan tetapi kami masih belum beri kata putus. Lagipun, kami tidak terlalu inginkan itu dan ini. Bagi kami, asalkan majlis berjalan dengan lancar, itu sudah mencukupi. Setakat ini, kedua-dua pihak bekerjasama untuk melaksanakan majlis tersebut," katanya.
Mia perlahan karier seni
Sementara itu, pelakon cilik Mia Sara bakal melangkah ke tahun satu pada 2012 ini akan mula memperlahankan karier seninya.
Menurut bapanya, Ridhuan yang menjawab soalan bagi pihak Mia, meskipun karier seninya berjalan dengan baik sekarang, dia terpaksa utamakan pendidikan anak ketiganya itu.
"Selain sibuk mempromosikan Papa I Love You, Mia juga sedang menjalani penggambaran Cinta Buat Emelda yang akan bersiaran di slot Aksia, TV3 pada Februari nanti.
"Pada Januari ini pula, Mia akan mula melangkah ke sekolah rendah dan demi kebaikannya, karier lakonannya mungkin akan diperlahankan sedikit.
"Tetapi tidaklah sampai berhenti berlakon kerana bukan mudah Mia dapat sampai ke tahap yang dicapai sekarang. Jadi selagi dia boleh kekalkan kariernya, saya akan cuba membahagikan masa yang terbaik buatnya," katanya.
Menyentuh lakonan Mia dalam filem ini, Ridhuan berkata, filem ini mempunyai sedikit kelainan berbanding lakonan Mia sebelum ini kerana dia perlu menghayati watak sebagai anak yatim.
“Bagi memastikan dia benar-benar menjiwai watak, saya dan pengarah dengan bantuan pelakon banyak memberi keterangan padanya. Syukur Mia mudah faham,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: