KUALA LUMPUR: Tahun 2012 bakal menyaksikan Istana Budaya menyajikan pelbagai program berbentuk muzikal yang lebih menarik dan dijangka mampu membawa lebih ramai penonton ke panggung tahun depan.
Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, sebanyak lapan buah teater muzikal bakal dipentaskan selain empat drama tari bakal mengambil tempat dalam senarai kalender program agensi itu pada 2012.
"Pementasan teater berbentuk muzikal adalah menjadi pilihan penonton teater di negara ini dan tidak hairan ia bakal memenuhi jadual IB pada 2012.
"Malah ada pihak produksi yang terpaksa menunggu selama setahun untuk mendapatkan tarikh di IB dan kami terpaksa membuat pilihan secara bijak bersesuaian dengan selera penonton teater di negara ini," ujarnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program 2012 Istana Budaya di sini, Khamis.
Mohamed Juhari berkata, antara pementasan yang dijangka mendapat perhatian umum adalah Cuci The Musical 3 (4-18 Mac), Upin Dan Ipin (14 april-6 Mei), Muzikal Dr Siti Hasmah (15-27 Mei), Bahaman Orang Kaya Semantan (30 Ogos - 8 september), The Kitchen Musical (12-21 Oktober) dan P.Ramlee The Musical (1-18 November).
Selain itu, Konsert Awie dan Ella (12-15 Januari), Kugiran Pop Yeh Yeh (20-22 Januari), teater Gerimis Mengundang (27 Mac-8 April), konsert Datuk DJ Dave (1-3 Jun), Bila Hati Di Geletek (27-29 September) dan Lana Latisya (29 November-9 Disember) turut dijangka akan mendapat reaksi baik daripada peminat.
"Kita membawakan kembali beberapa teater muzikal yang pernah beraksi di pentas Panggung Sari seperti Cuci The Musical 3 dan P.Ramlee The Musical atas permintaan ramai," ujarnya.
Dalam pada itu, Juhari memberitahu sebuah teater adaptasi daripada novel popular turut akan dipentaskan pada 17-23 September depan tetapi masih merahsiakan tajuk teater tersebut.
Juhari berkata, pihak produksi masih berusaha mendapatkan hak cipta novel berkenaan daripada syarikat penerbitan dan penulis sebelum membuat sebarang pengumuman.
"Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar sebuah novel dari tajuk popular akan dipentaskan di IB pada tahun depan.
"Penerbitan teater daripada adaptasi itu adalah berdasarkan sambutan hangat terhadap teater Badai Semalam yang turut diadaptasi daripada novel dan kehangatan filem “Ombak Rindu” di pawagam," katanya.
Tambahnya, sebuah pementasan teater bertaraf antarabangsa juga akan diselitkan pada pertengahan bulan Jun tetapi masih belum mendapat hak cipta daripada penerbit asal.
Sementara itu, Juhari berkata, pihak IB masih mengekalkan kuota 70 peratus produksi tempatan dan selebihnya kepada produksi luar negara tetapi memberi keutamaan kepada karya tempatan.
Pihaknya juga yakin dapat menyahut seruan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu jumlah penonton yang hadir ke IB meningkat kepada 200 ribu pada tahun hadapan berbanding tahun ini sebanyak 150 ribu penonton.
"Kami yakin dengan pelbagai persembahan mantap di IB tahun depan, kami dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh menteri," katanya.
Antara program lain yang bakal dipentaskan di IB adalah The White Bat (7-8 Januari), Thousand Hands (31 Januari-12 Februari), Songs of the Wanderes (16-17 Februari), Muzikal ASEAN Xtravaganza (1 Mac), International Ballet Gala 2012 (13-15 Julai) dan Dramatari (7-10 Jun).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: