Friday, December 30, 2011

Tuah Tom Cruise



KEJAYAAN yang dimiliki aktor terkenal Hollywood Tom Cruise hari ini bukan datang dengan mudah meskipun aktor kelahiran Syracuse, New York itu memiliki wajah yang tampan. Ibu bapanya bercerai ketika dia berusia 11 tahun dan kehidupan berpindah-randah memaksanya bersekolah di 15 buah sekolah. Sekolah terakhirnya adalah Glen Ridge High School, New Jersey.

Dibuli merupakan perkara biasa ketika zaman persekolahannya, tambahan dia mempunyai masalah disleksia iaitu gangguan dalam pembelajaran iaitu sukar membaca dan menulis. Justeru, Cruise bukanlah pelajar yang cemerlang ketika zaman persekolahannya, dia mengalih tumpuan kepada aktiviti sukan dan kecederaan lutut yang dialaminya ketika bergusti, membuat dia secara tidak sengaja terjun ke dunia lakonan.

Pada usia 18 tahun, dia meninggalkan Glen Ridge dan memburu impian sebagai seorang aktor di New York. Waktu siang dia melakukan pelbagai pekerjaan antaranya sebagai budak penghantar surat sehinggalah sebagai pembersih restoren dan pada waktu malam diperuntukkan untuk kelas lakonan sebagai persediaan buatnya menjalani uji bakat iklan, drama dan filem.

"Bukan mudah untuk saya berdiri seperti hari ini, sebelum berjaya mendapat kontrak filem pertama Endless Love pada tahun 1981, saya telah merasai pengalaman ditolak pengarah dan penerbit. Saya tidak menjadi aktor untuk memiliki kuasa (wang dan populariti) tetapi ia berlaku dengan sendirinya secara tidak langsung menyebabkan saya memperoleh lebih banyak peluang.

"Saya juga sedar yang kuasa itu tidak akan kekal selamanya dalam kerjaya saya sebagai pelakon. Jadi, saya mahu menggunakannya sehabis yang mungkin, terlibat dalam naskhah yang hebat dan apabila masa itu berlalu saya akan tersenyum kerana telah menjalani hidup dengan sepenuhnya," ujarnya.

Meskipun merupakan aktor yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood, dia menegaskan dia tidak pernah melakukan kerja kerana wang.

"Jujur, saya tidak pernah lakukan kerja semata-mata kerana wang. Ya, sebagai aktor saya diberi pilihan dan tawaran yang menarik tetapi terpulang kepada diri sendiri sama ada mahu menerimanya atau tidak. Jika pilihan terletak pada wang dan filem tersebut tidak mendapat sambutan, wang itu tidak bererti apa-apa," jawabnya yang masih menerima tawaran berlakon dalam filem indie.

Kini, selepas lebih tiga dekad terlibat dalam industri perfileman, Cruise bukan sekadar seorang pelakon tetapi dia juga seorang penerbit filem dan mungkin juga bakal penyanyi kerana selepas filem Mission Impossible - Ghost Protocol, dia diangkat sebagai penyanyi rock legenda dalam filem muzikal berjudul Rock of Ages akan berada di pawagam pada Jun tahun hadapan.

Menariknya, ramai yang terkejut apabila mendapat tahu Tom benar-benar boleh menyanyi dan suaranya turut mendapat pujian ramai. Malah, salah seorang pelakon dalam filem itu yang juga seorang penyanyi terkenal, Mary J. Blige turut mendedahkan yang dia teringin untuk merakamkan lagu duet bersama Cruise.

"Jika dia tanya saya, saya terus setuju. Dia memang seorang penyanyi yang bagus dan benar-benar mempunyai aura sebagai seorang penyanyi terkenal. Jiwa rock dalam dalam diri seseorang dan Tom memilikinya," kata Mary J. Blige.

Kebolehan menyanyi Cruise itu turut diakui oleh isterinya, Katie Holmes, bagaimanapun memberitahu, suaminya itu mengikuti kelas vokal selama beberapa minggu sebelum penggambaran bermula.


PENGHUJUNG 2011 menyaksikan nama Tom Cruise kini kembali dijulang sebagai bintang filem pecah panggung menerusi ke munculan filem Mission Impossible - Ghost Protocol.


"Ya, saya suka menyanyi tetapi saya tidak rasa saya boleh lakukannya sebaik lakonan. Jika untuk suka-suka ya tetapi untuk serius saya belum terfikir mengenainya lagi," katanya yang membawakan watak Stacee Jaxx dalam filem muzikal itu.

Misi mustahil

Aktor yang telah berlakon 44 buah filem itu termasuk semua filem sekuel Mission Impossible serta terkini Ghost Protocol tidak hanya berlakon sebaliknya turut bertindak sebagai penerbit telah melakukan pelbagai aksi lagak ngeri sebagai ejen perisik bernama Ethan Hunt.

Sebagai penerbit memilih pengarah JJ Abrams untuk mengarah filem buat kali pertama merupakan satu risiko yang besar tetapi Cruise mempunyai alasan yang tersendiri terhadap pilihannya.

"Kisahnya begini, saya dan Steven Spielberg tengah bekerja untuk filem War of the Worlds dan kami berjumpa beberapa orang penulis dan penulis itu termasuk JJ. Tidak mengambil masa yang lama untuk saya menyukai kerjanya dan dia seorang yang berkarisma serta bijak.

"Kami bekerjasama secara tidak sengaja apabila setiausaha JJ memberi saya pita drama aksi Alias musim pertama yang diarah oleh JJ. Selang beberapa hari saya habis menonton satu musim drama Alias dan saya menyukai kerjanya. Saya menghubunginya ketika itu dia berada di Hawaii melakukan penggambaran drama Lost. Sekembalinya dia di Los Angeles kami berjumpa dan saya tanya bila dia mahu mengarah filem," jelas Tom.

Sungguhpun begitu, untuk seorang pengarah yang tidak pernah mengarah filem berbajet besar pasti menimbulkan kebimbangan di hati seorang penerbit.

"Saya rasa seperti ini bukan filem pertamanya. Filem ini paling kompleks dan sekuel Mission Impossible terbesar yang pernah kami hasilkan. Lihat sahaja lokasi penggambarannya, China, Rom, Dubai dan Jerman tetapi kami berjaya melakukan penggambaran mengikut jadual dan di bawah bajet. Hasilnya juga cukup mengagumkan.

Dalam filem ini banyak aksi lagak ngeri dilakonkan Cruise dan paling diingati adalah babak dia keluar daripada bangunan tertinggi di dunia Burj Khalifa di Dubai dan berjalan di atas cermin tingkap bangunan yang mempunyai ketinggian 2,717 kaki bersamaan dengan 163 tingkat. Katanya untuk babak yang dilakukan di tingkat 140 itu sahaja dia telah berlatih selama sebulan.


KEJAYAAN yang dicapai Cruise dalam karier seiring dengan kebahagiaan yang digapainya dalam kehidupan berkeluarga.


"Pengalaman paling tidak boleh saya lupakan berpusing di tepi tingkap bangunan tersebut dengan bergantung nyawa pada tali setebal wayar piano. Menakutkan tetapi untuk menampilkan kelainan, ia harus dilakukan dan seluruh produksi telah mengambil langkah keselamatan terbaik.

"Kami harus mencari lokasi antarabangsa yang mengagumkan dan Burj Khalifa adalah pilihan terbaik. Saya hanya berlatih sehari untuk aksi melompat keluar daripada bangunan itu sebelum memulakan penggambaran," ujarnya yang berada di Dubai selama lima minggu.

Disoal apakah perkara yang paling menakutkannya ketika penggambaran, jawab Cruise: "Terjatuh ke bawah."

Sambung aktor berusia 49 tahun itu lagi: "Apabila kami melakukan penggambaran perkara pertama dalam fikiran bagaimana kami lakukan untuk nampak hebat dan mustahil di layar. Kedua soal keselamatan dan kami sudah berlatih dan merancangnya selama berbulan-bulan. Saya hanya lakukan dan ya, saya selamat dan hidup sampai hari ini. Tiada sebarang kecederaan serius berlaku sepanjang penggambaran."

Sebagai penutup tahun 2011 Mission Impossible - Ghost Protocol yang menelan kos sebanyak RM459,505,000 itu turut dilakonkan oleh Jeremy Renner, Simon Pegg, Paula Patton dan bintang Bollywood Anil Kapoor merupakan sebuah filem yang cemerlang.

Suri di hati Tom

Cruise yang pernah bercinta dengan aktres Penelope Cruz juga pernah berkahwin sebanyak tiga kali, pertama Mimi Rogers, kedua, Nicole Kidman dan terakhir sejak tahun 2005 dan kekal sehingga hari ini bersama Katie Holmes.

Momen tidak boleh dilupakan apabila Cruise secara terbuka mengaku cintakan Katie dalam program bual bicara popular Oprah Winfrey Show pada 23 Mei, 2005. Dalam program itu, Cruise kelihatan tidak senang duduk malah siap melompat di atas sofa apabila berbicara tentang Katie.

Kebahagiaan Cruise bertambah apabila dia dikurniakan anak perempuan bernama Suri yang kini berusia lima tahun dan secara sah berkahwin dengan Katie pada November 2006. Khabarnya, kini Cruise sedang merancang untuk menambah jumlah ahli keluarganya

"Ya, saya berharap dan sedang merancang untuk memperolehi cahaya mata lagi dan beri adik kepada Suri," katanya.

Meskipun sentiasa sibuk, katanya, jika ada kesempatan dan peluang dia pasti akan membawa keluarganya ke lokasi penggambaran atau promosi filem seperti ketika dia mempromosi filem sekuel terbaharu Mission Impossible itu di beberapa buah negara baru-baru ini.

"Setiap hujung minggu jika kelapangan kami pasti akan habiskan masa bersama seperti berkelah atau melepak di taman, menemani Suri ke pusat membeli-belah kerana dia suka sangat memakan aiskrim. Dia anugerah terhebat yang pernah saya perolehi dalam hidup," kata Cruise.

Jelas sekali hidup Cruise kini lebih bermakna. Dia juga sering mengatakan saban hari cintanya pada isteri semakin besar.

"Semakin hari saya semakin cinta Katie, dia seorang yang istimewa dan memahami saya sepenuhnya. Kehadiran Suri melengkapkan hidup saya sebagai seorang lelaki, suami dan bapa. Tetapi nampaknya, Suri lebih banyak mengikut isteri saya terutamanya bab fesyen. Saya yakin apabila dia besar kelak, dia akan menjadi seorang penggila fesyen, lihat sahaja dia hari ini, walaupun baru lima tahun, pakaiannya lebih banyak daripada ibu bapanya," cerita Cruise.

Bercakap mengenai tahun 2012, kata Cruise banyak projek filem menantinya dan tahun hadapan merupakan tahun paling sibuk buatnya.

"Saya ada beberapa buah filem yang menanti penggambaran dan ada yang sedang dalam penggambaran, sebagai pelakon saya mahu beri yang terbaik dan impak kepada penonton serta diri sendiri. Sebagai penerbit saya mahu menerbitkan lebih banyak filem bermutu dan pecah panggung, apa pun terima kasih kepada peminat yang tidak henti menyokong kerjaya saya selama ini," katanya yang turut bercuti panjang sempena Krismas baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: