Saturday, December 31, 2011

Kota romantis pengunci cinta


JUTAAN mangga terdapat di sekitar Menara Seoul yang menjadi lambang penyatuan cinta.


MENDAPAT tugasan untuk menyertai rombongan pelancongan ke negara 'ginseng' ini pada 25 November hingga 30 November anjuran QS Travel, ia bagaikan mimpi buat penulis. Perasaan pastinya teruja untuk melihat sendiri apa yang ada di negara yang mana artis-artisnya menjadi igauan anak remaja Malaysia.

Menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea pada jam 6 pagi yang ketika itu bersuhu 5 darjah celcius, penulis seperti tidak percaya sudah berada di bumi Seoul.

Menyertai lebih 50 orang peserta rombongan, kami disambut baik oleh pemandu pelancong yang dikendalikan oleh QS Travel Sdn Bhd dan Ziarah Sutera Holdings, iaitu Sue Yen dan Daniel.

Membawa seribu satu perasaan berikutan ini kali pertama penulis menjejakkan kaki di Korea, maka segala perkara mahu dirakam menerusi lensa kamera, sehinggakan cuaca yang sejuk langsung tidak diendahkan.

Menyelusuri jalan raya di kota Korea itu, ia sebenarnya membuatkan hati penulis kagum!

Bandar raya itu terlalu bersih. Malahan, tiada langsung sampah yang berterbangan di bumi Korea, bahkan tiada tong-tong sampah disediakan di tepi-tepi jalan ataupun di hadapan deretan kedai.

Orang Korea gemar blind date

Memulakan langkah pertama di Korea dengan melawat Seoul Tower di Namsan Mountain, pusat kota Seoul, Korea Selatan, ia merupakan sebuah lokasi yang dijadikan tempat untuk warga Korea 'mengunci' cinta mereka agar terus utuh dan berkekalan.


MENARA Seoul menawarkan pemandangan sekitar bandar raya itu dari ketinggian 236 meter.


Di sini terdapat berjuta jenis kunci dan mangga, yang telah ditinggalkan oleh ribuan pasangan muda-mudi yang sedang hangat bercinta sejak ia dipopularkan mulai tahun 1990-an lagi.

Jadi tidak hairanlah jika dikatakan masyarakat Korea sangat romantis bila menyentuh bab cinta kerana mereka sendiri membina satu kubu cinta setinggi menara Seoul.

Menurut Sue Yen, permulaan cinta remaja Korea kebiasaannya bermula dengan blind date yang diatur oleh mereka untuk bertemu dengan lelaki yang serasi.

Bagaikan sudah menjadi tradisi, acara perjumpaan blind date sememangnya dinantikan oleh anak-anak remaja di sini.

Walaupun tidak ramai yang berjaya sepenuhnya mencari cinta dengan cara sebegini, namun mereka tetap mahu mencuba setiap kali berada di sekolah menengah.

Kubu cinta Winter Sonata

Keesokan harinya, rombongan kami dibawa ke Pulau Nami, sebuah pulau yang cukup terkenal selepas penggambaran drama bersiri Winter Sonata, sebuah drama Korea yang mendapat sambutan hangat di Malaysia sekitar tahun 2002

Pulau tanpa penduduk itu terletak di tengah-tengah Sungai Han dan ia yang berfungsi semata-mata bagi tujuan pelancongan dikatakan milik orang perseorangan.

Melihat kekacakan Bae Yong Jun dan kejelitaan Choi Ji Woo yang membawakan watak Kang Joon-sang dan Jun Yu-jin dalam drama Winter Sonata itu, penulis tercari-cari jua kelibat-kelibat wajah sebegitu di sana, namun ternyata bukanlah mudah.

Setiba di Pelabuhan Gapyeong, perjalanan perlu diteruskan menaiki feri menyeberangi Sungai Han yang mengambil masa kira-kira lima minit. Ferinya amat unik apabila dihiasi bendera negara-negara di dunia yang pelbagai rupa dan corak.


PENULIS sempat mencuba pakaian tradisional dipanggil hanbok.


Kibaran bendera pelbagai negara itu sesuai dengan slogan pulau berkenaan, kita semua bersaudara.

Bagi penulis, kunjungan ke pulau kecil itu sewaktu ia belum dilitupi salji kurang menyeronokkan kerana persekitarannya hampir sama seperti kebanyakan pulau lain.

Khabarnya waktu terbaik dan paling romantis situ ialah pada musim bunga kerana keindahannya lebih terserlah.

Pulau Nami boleh dikatakan 'kosong' kerana tarikan ke sana hanyalah disebabkan drama bersiri itu dan kisah percintaannya. Di sini pengunjung boleh memilih menaiki kereta api, kereta atau basikal untuk meneroka keindahan persekitaran.

Antara ginseng dan batu jed

Seperti masyarakat China, rakyat Korea juga sangat mempercayai kehebatan ginseng.

Cuma bagi kita masyarakat Melayu, ginseng bukanlah berada dalam senarai utama penawar kesihatan.

Jadi ketika dibawa melawat ke sebuah kilang penghasilan ginseng, maka tidak ramai yang berminat untuk membelinya, melihat pada harganya yang mencecah ribuan ringgit sudah tentu ia semakin melunturkan semangat kami.

Selepas melawat kedai dan kilang ginseng, kami semua dibawa melawat ke sebuah kedai menjual batu jed.

Ketika di sini, apa yang penulis nampak hampir semua pelancong yang menyertai rombongan kami mengambil peluang memborong batu-batu jed yang sudah dijadikan rantai, cincin dan gelang.

Biarpun harganya tinggi, namun rata-rata mereka sanggup mengeluarkan kad kredit masing-masing untuk memiliki barangan kemas itu.

Sebelum bertolak pulang, kami dibawa membeli-belah di Dongdaemum Market, memandangkan kunjungan kami berlangsung pada musim sejuk, maka kebanyakan kedai-kedai di Dongdaemum hanya menjual barangan untuk musim sejuk sahaja.


KEINDAHAN Pulau Nami dipaparkan penuh pesona dalam drama bersiri Winter Sonata.


Di sini penulis dapat melihat sendiri kegigihan golongan sederhana di Korea mencari rezeki, biarpun ramai yang mengatakan masyarakat Korea tidak pandai berbahasa Inggeris dan sukar untuk melayan tetamu dari negara lain namun, sebenarnya mereka mempunyai cara tersendiri untuk menarik perhatian pelancong.

Hanya mengucapkan salam perkenalan annyung haseyo, ia sebenarnya sudah cukup membuatkan mereka tersenyum mesra. Apatah lagi, apabila kita menggunakan ungkapan yang sedikit nakal seperti saranghae (saya cinta kamu) ataupun jungmal chohayo (saya suka kamu), ia makin memudahkan kita untuk mendapatkan harga yang murah.

Apa yang pasti perjalanan ke Korea sungguh menghiburkan, biarpun penulis hadir sebagai memenuhi tugasan yang diberikan oleh ketua dan tidak mempunyai tempoh persediaan yang lama sebelum berangkat, namun syukur segala-galanya di sana berlangsung dengan baik.

Buat kota Korea dan semua yang telah memberikan kerjasama di sana, gamsa hamida (terima kasih) penulis ucapkan!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: