SUBANG JAYA: Penyanyi Daniel Lee mengakui kegembiraannya selepas menjuarai Malaysian Idol musim kedua pada 2005 hanya mampu bertahan selama dua tahun kerana popularitinya mula menurun selepas itu.
Katanya, ini disebabkan dia terlalu yakin selepas menjadi juara program realiti itu dia akan mendapat peluang luar biasa dan sokongan berterusan dalam bidang seni.
"Dulu saya sedikit ego. Saya terlalu yakin mampu bertahan dengan apa yang saya miliki pada ketika itu," katanya kepada mStar Online pada majlis pelancaran album ketiganya yang diadakan di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Khamis.
Daniel yang muncul dengan album terbarunya berjudul 'Sincerely Yours Daniel' ini memberitahu, sepanjang empat tahun menyepi, dia pernah membuat keputusan untuk terus meninggalkan bidang seni.
"Saya hampir putus asa dan merasakan muzik beri tekanan kepada diri saya. Saya rasa bidang ini susah dan seperti tak mahu menyanyi lagi," katanya.
Menurut Daniel, kesedaran mengenai muzik terjadi apabila dia diminta menguruskan perniagaan milik bapanya.
"Saya cuba nak berniaga, tapi tiba-tiba hati saya terbuka untuk berjinak-jinak kembali dalam bidang seni. Lama saya berfikir dan akhirnya saya sedar bahawa muzik perlu lahir dari hati, bukan usaha keras semata-mata seperti yang saya fikirkan dulu," jelas penyanyi berusia 29 tahun ini.
Daniel berkata, selain sikap dan kurang pengalaman dalam industri hiburan, kesilapan memilih konsep dan aliran muzik yang sesuai untuk dirinya dulu turut menjadi salah satu faktor albumnya kurang mendapat sambutan.
"Sebelum ini apa sahaja yang saya buat semata-mata mahu buktikan kepada semua orang yang saya boleh buat. Sekarang saya sedar tindakan saya itu tidak betul. Dalam berkarya, kita kena jujur dan ikhlas. Semuanya perlu lahir dari hati," ujarnya.
Justeru, menerusi album kali ini, Daniel amat bertuah kerana diberi kebebasan memilih konsep untuk albumnya, malah turut berpeluang mencipta empat buah lagu.
Daniel berkata, kelainan album ini dapat dilihat apabila lirik dan gubahan lagu-lagunya lahir tulus dari hatinya dan disampaikan dengan ikhlas kepada peminatnya.
"Lagu-lagu dalam album ini adalah lagu cinta dan kasih sayang tetapi dalam masa yang sama dapat memberi inspirasi dan semangat terutama buat mereka yang pernah berputus asa dalam hidup seperti saya," katanya.
Ditanya mengapa tiada lagu Melayu diselitkan dalam albumnya kali ini dia menjawab:
"Selepas album ini, saya akan buat sesuatu yang lebih besar. Saya mahu merakamkan album berbahasa Melayu sepenuhnya," katanya, yakin.
Sebelum ini Daniel popular di kalangan pendengar Melayu apabila lagu-lagunya seperti Mimpi, Pasti dan Tiada Maaf Bagimu sering berkumandang di radio.
Berbicara lanjut mengenai albumnya, selain lagu berbahasa Cina, album keluaran Sony Music ini turut memuatkan lagu Inggeris termasuklah lagu baru dan lagu Inggeris klasik bertajuk Fixing A Broken Heart.
"Album ini disasarkan untuk peminat berbangsa Cina dan mereka yang mendengar lagu-lagu Inggeris," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: