KUALA LUMPUR 28 Dis. - Skim Amanah Rakyat (Sara 1Malaysia) dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada minggu kedua bulan depan, demikian menurut sumber di sini hari ini.
Sara 1Malaysia merupakan satu program khas yang ditawarkan kepada 100,000 isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah untuk melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB).
Difahamkan skim itu hampir menyamai ASB Sejahtera dan Amanah Saham Wawasan 2020 yang diperuntukan kepada Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Tetapi, difahamkan Sara 1Malaysia adalah skim terbaik yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan.
Lebih menariknya, penyertaan pemilikan skim itu juga terbuka kepada semua kaum.
Oleh sebab, Sara 1Malaysia adalah skim bantuan, PNB akan melaksanakan pemilihan yang ketat bagi memastikan hanya pelabur yang layak sahaja dipilih
Berikutan itu, PNB difahamkan bakal mengemukakan syarat-syarat tertentu kepada para pemohon.
Syarat-syarat itu perlu dilaksanakan bagi memastikan objektif Sara 1Malaysia untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dan pada masa sama memastikan golongan terbabit tidak dikecualikan peluang untuk melabur tercapai.
Difahamkan pelabur yang layak akan ditawarkan pinjaman pada jumlah tertentu oleh bank-bank yang menjadi ejen PNB, selain Bank Simpanan Nasional.
Bagaimanapun, para pelabur ini dipercayai hanya akan dikenakan kadar faedah yang sangat minimum kerana selebihnya ditanggung oleh kerajaan.
Para pelabur yang diberikan pinjaman tidak dibenarkan untuk menjual pelaburan mereka sehinggalah tempoh bayaran ansuran diselesaikan tetapi boleh menikmati agihan pendapatan setiap tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: