Friday, December 30, 2011

Bekas pegawai Digi dijel 4 tahun


S. STANLEY dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM2.075 juta oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 29 Dis. - Seorang bekas pegawai kanan pemerolehan Digi Telecommunication Sdn. Bhd. dihukum penjara empat tahun dan denda RM2.075 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 14 tuduhan menerima rasuah RM415,000 daripada sebuah syarikat pembekal, tiga tahun lalu.

Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Stanley, 40, selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 14 tahun lagi jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Pelaksanaan hukuman itu bagaimanapun dibenar ditangguhkan sehingga rayuannya selesai dengan syarat jumlah jaminan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM250,000 dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat pada Ahad pertama setiap bulan.

Stanley didakwa memperoleh bagi dirinya kesemua wang tunai itu melalui akaun Maybank daripada Syarikat Nakhoda Sistem Sdn. Bhd. di Maybank cawangan Taman Kinrara, Puchong dekat sini antara 13 Ogos 2007 dan 22 Oktober 2008.

Wang suapan itu sebagai dorongan untuk tertuduh memilih syarikat berkenaan sebagai pembekal kabel dan peralatan telekomunikasi kepada Digi Telecommunication.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Sinti manakala Stanley diwakili peguam M. Athimulan.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 16 saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan manakala bagi pihak pembelaan hanya tertuduh yang tampil memberi keterangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: