bersepah

BANTING – Keluarga seorang ahli perniagaan kelapa sawit berdepan detik cemas dikurung empat penyamun bertopeng dan bersenjatakan parang yang menceroboh masuk rumah mereka ketika sedang asyik menonton televisyen di Lorong Jentayu, Kawasan 5, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, empat penjenayah terbabit mengacukan parang ke muka mangsa, Tan Teng Son, sebelum berjaya membawa lari barangan berharga termasuk wang tunai dan barang kemas RM500,000.

Teng Son bersama lapan ahli keluarga yang lain termasuk pembantu rumah dikurung dalam sebuah bilik di dalam rumah berkenaan selama 30 minit.

Menurutnya, kumpulan penjenayah itu meluru masuk ke kawasan rumah dengan menaiki sebuah kereta Toyota Harrier berwarna silver sebelum bertindak mengacu parang kepadanya dan kemudian bertindak mengurung dia dan ahli keluarganya.

“Kami hanya berjaya keluar dari bilik berkenaan kira- kira 30 minit selepas itu dengan mencuba membuka ikatan sendiri apabila menyedari kesemua penjenayah sudah pun melarikan diri.

“Ketika kejadian, empat lelaki berkenaan sempat berkomunikasi dalam bahasa Mandarin sama ada kami ada memasang Kamera Litar Tertutup (CCTV) atau sebaliknya bagi mengelakkan aktiviti mereka dirakam sebelum menggeledah ke setiap bahagian rumah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintandan Nordin Manan berkata, laporan mengenai kejadian telah diterima dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Berdasarkan siasatan awal katanya, ahli perniagaan itu tidak menggaji pengawal keselamatan atau memasang CCTV untuk langkah keselamatan di rumahnya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dan bersenjata.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes rompakan tersebut boleh datang ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.