Curi-bakau

SENAI – Tujuh lelaki warga Indonesia yang sedang leka menebang pokok bakau secara haram di Hutan Bakau Pantai Tanjung Pacat, Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, ditahan dalam Operasi Bersepadu Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Komander Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, bertindak atas maklumat, satu serbuan dilakukan pasukan bot ronda RH24 di kawasan itu pada jam lima petang.

“Semasa serbuan dijalankan, terdapat tujuh lelaki warga Indonesia berusia 23 hingga 40 tahun sedang menjalankan kerja menebang pokok bakau.

“Pemeriksaan dilakukan dan semua yang ditahan didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Ribuan kayu bakau itu telah dikumpul dan disusun bagi membolehkan satu lagi pihak yang sedang kami kenali untuk membawanya ke tempat lain,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Zainul Abidin berkata, kesemua lelaki itu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1985 kerana menceroboh kawasan hutan simpan.

Turut dirampas ialah dua mesin gergaji berantai, tiga kapak, gergaji tangan serta puluhan ribu kayu bakau pelbagai saiz dianggarkan bernilai RM68,700.

Kesemua lelaki dan barang rampasan diserah ke Jabatan Perhutanan Negeri Johor manakala pekerja asing itu diserahkan ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati pekerja ini melangkaui kawasan dibenarkan untuk ditebang. Mereka dikesan mula melakukan penebangan di kawasan itu sejak 20 hari lalu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau dan mengawasi sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang terutama di kawasan sekitar muara, sungai dan pulau yang sering dijadikan tempat pendaratan.