KUALA LUMPUR - Di sebalik rasa panik warga kota berikutan kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di ibu negara pada Selasa dan Rabu lalu, peniaga di Bazar Melayu Moden, Masjid India, di sini bagaikan sudah lali dengan keadaan tersebut kerana sudah acap kali berhadapan dengan keadaan itu setiap kali berlakunya hujan lebat.
Lebih memburukkan keadaan apabila air yang bergenang adalah daripada longkang dan saluran najis dari sekitar kawasan tersebut menjadikan suasana ketika berlaku keadaan sedemikian menjijikkan dan menimbulkan bau yang kurang menyenangkan.
Peniaga kasut, Hasbi Idris, 54, berkata, sudah hampir dua tahun perkara tersebut menghambat peniaga tanpa penyelesaian daripada pihak bertanggungjawab.
Menurutnya, masalah saliran longkang bawah tanah yang tersumbat menjadi punca berlakunya takungan air di kawasan perniagaan mereka itu.
“Perkara ini pernah dibawa oleh persatuan kepada pihak berkenaan dan dimaklumkan sememangnya ada saluran yang tersekat, namun pemulihannya akan memberi risiko kepada struktur bazar ini, lalu mencetuskan cadangan pembinaan lencongan lain.
“Bagaimanapun, walaupun ada pihak yang sudah membuat tanda di beberapa kawasan tapak, sehingga kini tiada sebarang kerja membaik pulih dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi peniaga, Norsiah Baimin, 60, berkata, setiap kali cuaca mendung dan hujan, ia akan menimbulkan kegelisahan peniaga memikirkan keadaan yang bakal berlaku.
Katanya, sekiranya hujan lebat, air akan mula naik dalam masa setengah jam diikuti dengan bau busuk.
“Walaupun air yang naik hanya paras buku lali, perkara tersebut tetap menyusahkan peniaga kerana terpaksa mengalihkan barang. Saya sendiri pernah kerugian kerana barangan perniagaan yang terjejas akibat takungan air yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, peniaga tudung, Masyita Dewi Ibrahim, 22, tidak ketinggalan merasai kesukaran setiap kali berlaku kejadian tersebut sejak menjalankan perniagaan dua tahun lalu.
Katanya, urusan jual beli juga terganggu lebih-lebih lagi barangan yang dijualnya melibatkan material jenis kain yang mudah terjejas jika terkena air yang tercemar.
Selain masalah air bertakung, ketiadaan beberapa bahagian bumbung akibat diterbangkan angin yang tidak diganti pihak bertanggungjawab, turut memberi masalah kepada peniaga dan merasakan struktur yang ada hanya sia-sia kerana pengunjung yang datang tidak dapat berteduh dengan sempurna.
Justeru, peniaga mengharapkan tindakan yang sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab memastikan bazar tersebut terus mendapat tempat di hati pengunjung khususnya pelancong warga asing seterusnya memelihara imej negara di mata mereka.
Sunday, December 18, 2011
Air najis bergenang, peniaga tanggung rugi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: