longkang

KUANTAN – Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memperuntukan RM100,000 untuk membina tebatan longkang bagi mengurangkan banjir kilat yang berlaku di bandar ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Chang Hong Seong berkata projek itu merupakan tindakan segera MPK untuk menangani masalah banjir kilat yang berlaku Ahad lalu.

“Hujan lebat lebih dua jam menyebabkan banjir kilat menyebabkan air memasuki premis perniagaan di bandar.

“Tindakan segera daripada MPK memperbaiki longkang sepanjang 200 meter bermula di Pasaraya Bintang menghala ke menghala ke outlet di Jalan Ismail,” katanya ketika lawatannya ke Jalan Bukit Ubi mengenai masalah banjir kilat, di sini semalam.

Hong Seong berkata longkang baru yang dibina selebar 600 milimeter (mm) dan lebar 400 mm menggantikan longkang lama yang tersumbat dan cetek.

Katanya, projek pembinaan longkang tersebut mengambil masa empat minggu untuk menyiapkan laluan air yang akan mengalir ke longkang besar di Jalan Ismail.

“Selain itu terdapat beberapa kerja pembaikan dan pembersihan longkang yang dijalankan pada hari ini (semalam) yang dijalankan oleh MPK untuk mengatasi masalah longkang tersumbat.

“Tiga kawasan longkang tersumbat dikenal pasti iaitu Jalan Mahkota, Jalan Tun Ismail 1 dan Darat Makbar dibersihkan agar tiada sampah sarap menghalang pengaliran air,” katanya.

Beliau berkata kos membersihkan ketiga tempat tersebut menelan belanja kira-kira RM500,000 demi memastikan masalah banjir kilat tidak berulang.

“Malah Yang Dipertua MPK telah memohon peruntukan untuk kerja pembersihan ini daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Pada Rabu lalu, satu mesyuarat melibatkan MPK, Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mencari jalan penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk mengatasi masalah banjir kilat,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mengalami kerugian besar akibat banjir kilat yang berlaku baru-baru ini boleh ke pejabat Adun untuk meminta bantuan bencana.

Sementara itu, Ketua Bahagian Projek Jabatan Pembangunan MPK, Kharil Shuhaidi Khalid Rani berkata, pihaknya akan membuat pemantau dari semasa ke semasa untuk memastikan kerja-kerja pembinaan longkang disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.