simpang bahaya

TRIANG - Penduduk di sekitar perumahan Taman Mawar Indah dan Taman Daro, dekat sini, mahu pihak berkenaan memasang lampu isyarat di simpang berdekatan Klinik Kesihatan Triang.

Wakil penduduk, Kow Poh Sing, 48, berkata, sejak Taman Mawar Indah dibuka kira-kira empat tahun lalu, ramai pengguna merungut mengenai kesibukan jalan berkenaan.

Menurutnya, selain simpang masuk ke taman perumahan itu, terdapat tiga lagi simpang yang berlainan ke arah taman perumahan berbeza menyebabkan keadaan menjadi ‘huru-hara’.

“Selalunya, pada waktu pagi, tengah hari dan petang adalah waktu paling sibuk kenderaan keluar masuk dari keempat-empat simpang itu.

“Kerap juga berlaku kemalangan sama ada melibatkan kereta atau motosikal gara-gara masing-masing mahu memasuki simpang,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, terdapat simpang utama iaitu menuju ke Klinik Kesihatan Triang dan Taman Mawar Indah, sementara tiga lagi simpang adalah laluan alternatif ke Taman Daro dan Kampung Belakang Klinik.

Poh Sing berkata, perkara itu pernah dimaklumkan kepada Majlis Daerah Bera (MDB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya dapat membina lampu isyarat bagi menangani masalah berkenaan.

Katanya, surat permohonan juga sudah dihantar pertengahan tahun lalu, tetapi sehingga kini masih tiada tindakan.

“Saya turut menghantar surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Alam Sekitar dan Kesihatan supaya perkara ini mendapat perhatian pihak berkaitan.

“Permohonan membina lampu isyarat ini bukanlah permintaan individu, tetapi seluruh penduduk demi menjamin keselamatan pengguna jalan,” katanya.

Poh Sing berkata, demi keselamatan pengguna yang menggunakan laluan berkenaan, perkara itu perlu dipandang serius lebih-lebih apabila kerap berlaku kemalangan walaupun tidak melibatkan kemalangan parah atau maut.