abu

KUANTAN – Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Malaysia (PKIPM) cawangan Pahang bekerjasama bersama MDE Solution bakal menganjurkan Program Jalinan Kasih bertujuan untuk melahirkan kesedaran terhadap golongan orang kurang upaya (OKU).

Program yang bakal berlangsung di pusat membeli-belah Kuantan Parade bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam, 12 Disember ini dijangka disertai kira-kira 150 OKU.

Pengarah Program Jalinan Kasih, Azrul Izhar Hafiz Zulkifly berkata, program yang julung kali dianjurkan itu berkonsep lebih terbuka bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat dengan lebih dekat kelebihan dan bakat yang ada pada golongan OKU itu.

Menurutnya, golongan OKU memiliki nilai dan kelebihan tersendiri justeru dengan adanya program tersebut, ia mampu memberi peluang kepada orang ramai lebih memahami golongan itu.

“Pengisian hasil pembentangan kertas kerja dan khidmat nasihat yang akan diberikan secara langsung selama program ini berlangusung membuka perspektif hala tuju golongan Oku dengan lebih jelas.

“Ia bukan sahaja memberi kebaikan kepada orang ramai malah OKU itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKIPM Cawangan Pahang, Sabariah Zakaria berkata, program itu julung kali diadakan bagi meraikan golongan OKU peringkat negeri Pahang.

Menurutnya, sebelum ini PKIPM hanya berpeluang menganjurkan program dalam skala yang lebih kecil di peringkat daerah termasuk di Temerloh, Bentong, dan Pekan.

“Kami mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengumpul OKU termasuk mereka yang selama ini tidak tersenarai atau mendapat bantuan.

“Sebagai tanda meraikan, pihak penganjur akan memberikan saguhati sebanyak RM20 kepada setiap OKU yang hadir,” katanya.

Bebarapa pengisian menarik diaturkan dalam program itu termasuk pembentangan kertas kerja berkaitan hala tuju OKU dalam pendidikan era kini, kebangkitan jiwa dan rohani.