SEHINGGA ke hari ini, apabila diminta komen berhubung kemenangannya pada Anugerah Skrin 2011 pada 4 November lalu, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri tetap merasakan dirinya masih lagi bermimpi.
Tidak pernah terlintas di fikiran gadis genit itu bahawa trofi Pelakon Pembantu Wanita Drama Terbaik akan berpihak kepadanya pada malam anugerah itu.
Apatah lagi, senarai lawannya bukan calang-calang. Semuanya adalah pelakon senior yang lebih dahulu makan garam.
"Saya masih terkejut dengan berita kemenangan itu. Tidak pernah menyangka bahawa rezeki akan berpihak kepada saya pada malam itu.
"Bayangkan, saya tahu tentang itu (kemenangan) pun menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Twitter yang mengucapkan tahniah ketika baru pulang dari tuisyen.
"Namun, demi pelajaran dan fokus saya kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu, saya harus melepaskan detik terindah dalam karier seni saya untuk berada di atas pentas dan menerima trofi itu," ujar Nurul Elfira Loy pada sesi ramah mesra bersama para pelakon telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang (BMSKB) di The Gardens, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Nurul Elfira Loy atau mesra disapa dengan gelaran Elfira memenangi trofi tersebut menerusi lakonannya dalam telefilem Kum Kum arahan Michael Ang.
Atas alasan itu, Elfira cukup terhutang budi kepada Michael yang mempercayai bakatnya untuk membawa watak seorang gadis yang suka memberontak dan keluar dari kepompong watak yang sering dibawa.
Sekadar mengusik Elfira dengan bertanyakan soalan lazim yang sering diajukan kepada mana-mana pelakon yang sudah menggenggam trofi, apakah kini dia boleh meletakkan harga atau demanding?
Diam seketika sebelum membariskan butir bicaranya, Elfira ternyata tidak selesa dengan terma yang boleh membawa kepada konotasi negatif pada sesetengah pihak.
Kata Elfira, bukan semua pelakon yang menentukan harga sewenang-wenangnya. Ada juga pihak produksi yang cuba mengambil kesempatan.
"Daripada pengalaman saya sendiri, pernah dulu saya cuba menaikkan harga sedikit. Namun, pihak produksi mengatakan apakah kelayakan saya untuk berbuat demikian hanya kerana saya tidak memenangi sebarang anugerah.
"Jadi, kalau sekarang ini selepas saya memenangi trofi dan cuba hendak menaikkan harga, mereka pasti akan berkata sebaliknya. Ibaratnya seperti main tarik-tali dan tidak serius dalam soal kerja.
"Kerana itulah bagi saya, menang atau tidak ia sebenarnya tidak membawa apa-apa perubahan. Saya masih selesa dengan apa yang saya ada setakat ini.
"Perkara penting, saya dapat membahagiakan dan meringankan beban keluarga daripada pendapatan saya sebagai seorang pelakon," kata Elfira yang masih lagi mempunyai kontrak selama setahun sebagai Wajah Eksklusif Astro.
Pelbagai
Sebagai seorang aktres muda yang semakin mencipta nama, Elfira juga mahu mempelbagaikan watak dan karakter dalam setiap telefilem mahupun drama bersiri yang dibintangi.
Dengan penuh terbuka gadis manis itu mengakui pada awalnya dia berasa selesa dengan karakter budak sekolah dan pelajar seiring dengan usianya.
Ditambah pula dengan bentuk badannya yang genit itu, peluang agak tipis untuk membawakan watak yang lari daripada kebiasaan.
Namun, Elfira optimis dengan kerjaya seninya dan bersedia untuk menyahut cabaran. Dalam hal ini, anak kedua daripada empat beradik itu memberikan contoh lakonannya dalam telefilem BMSKB yang akan disiarkan pukul 9 malam ini di Astro Ria.
"Sebelum ini, saya memang tidak mahu membawa watak cinta kerana berasakan bukan seperti diri sendiri.
"Tetapi, penulis skrip, Amor Rizan memberitahu dia menulis watak Alya itu untuk saya. Dia juga mahu saya membawakan watak itu dengan cara tersendiri.
"Daripada situ, saya melakukannya mengikut terjemahan diri sendiri dan tidak menonton mana-mana filem cinta kerana tidak mahu terbawa-bawa," jelasnya panjang lebar.
Bukan itu sahaja, Elfira juga pasti akan menjadi mangsa cemburu kaum sejenisnya kerana dia digandingkan dengan pelakon remaja lelaki popular dari Indonesia, Randy Pangalila dalam telefilem arahan Michael itu.
Menceritakan pengalamannya berlakon dengan aktor muda yang pernah membintangi sinetron popular seperti Cinta Kirana, Nada Cinta, Cinta Melody dan Cinta Fitri, Elfira menyifatkannya sebagai satu pengalaman baru.
Malah, Elfira juga tidak menolak untuk mengatakan dirinya sebagai seorang yang cukup bertuah untuk digandingkan bersama aktor muda pujaan ramai itu.
"Memang rasa teruja dan siapa yang tidak mahu berlakon di samping pelakon yang mereka minati. Dia seorang yang sangat mudah bekerjasama dan cukup merendah diri walaupun dia seorang pelakon popular masa kini di Indonesia.
"Bayangkan selama ini saya hanya menonton Randy di televisyen tetapi tidak sangka akan berlakon dengannya," kata Elfira sambil ketawa kecil.
Dalam pertemuan itu juga, sempat juga Elfira ditanya tentang perancangannya untuk tahun 2012. Sudah pasti, Elfira akan meneruskan karier seninya selain mahu menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan penerbangan.
elfira Loy N Randy Panggalila Couple ke ?
ReplyDelete