SIAPAKAH yang bakal muncul sebagai juara program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa (Vokal), adakah Norhasmidar Ahmad (Asmidar) atau Mafarikha Md. Akhir (Mafa)?
Mereka akan bersaing memperdengarkan vokal masing-masing menerusi tiga buah lagu pada pukul 9 malam, Ahad ini dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Juara untuk pertandingan yang pertama kali diperkenalkan oleh TV3 itu akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 dan RM30,000 untuk naib juara.
Menurut penerbit rancangan itu, Muhamad Sufian Che Isa, pada pertandingan akhir itu, mereka akan mendendangkan tiga buah lagu iaitu lagu baru, lagu pilihan dan lagu yang ditentukan oleh pesaing.
"Lagu baru dendangan Asmidar dicipta oleh Ajai. Sementara Audi Mok pula cipta lagu untuk Mafa. Pada peringkat akhir itu juga, Asmidar akan menyanyikan lagu yang dipilih oleh Mafa dan sebaliknya.
"Terpulang pada mereka sama ada hendak memilih lagu yang sukar untuk diberikan pada pesaing. Apa pun saya percaya mereka mampu mendendangkan apa juga genre lagu," katanya pada sidang akhbar selepas persembahan konsert kesembilan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, baru-baru ini.
Pada peringkat akhir, pemarkahan masih lagi menggunakan format yang sama iaitu 50 peratus daripada tiga juri profesional dan 50 peratus daripada penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Selain mengundang seorang juri jemputan, penyanyi Adibah Nor juga akan mengadakan persembahan pada peringkat akhir itu.
Sementara itu, Erra Fazira yang merupakan juri tetap vokal bersama Azmeer berkata, mereka tidak salah memilih peserta akhir iaitu Asmidar dan Mafa yang memperoleh undian sebanyak 58 peratus dan 48 peratus.
Katanya, antara Asmidar, Mafa dan Azmarul Azuan Harun (Azmarul), 27, yang tersingkir di saat akhir dengan undian 43 peratus, masing-masing ada kelebihan.Hanya nasib sahaja tidak menyebelahi peserta daripada Melaka itu.
"Saya dan Azmeer memang menaruh harapan yang tinggi untuk peserta Vokal. Kami telah melihat transaksi mereka dan kalau boleh kami mahukan yang lebih baik daripada apa yang ditonjolkan sebelum ini.
"Harap mereka dapat menggunakan peluang ini untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa, masing-masing mempunyai bakat nyanyian seperti orang lain," katanya.
Dalam pada itu Asmidar, penuntut Ijazah Sarjana Muda Muzik (vokal) dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berkata, meskipun gembira terpilih sebagai finalis namun hatinya tetap sedih kerana seorang rakannya tidak dapat bersaing bersamanya.
"Walaupun kelak saya boleh menjadi tenaga pengajar vokal tapi secara peribadi saya suka menyanyi dan itulah salah satu sebab saya menyertai program ini.
"Alang-alang sudah sampai ke akhir, saya berjanji akan memberikan persembahan yang terbaik nanti," kata peserta asal Kuala Lumpur.
Sementara itu Mafa mengakui apabila dia perlu mendendangkan lagu Awan Nano bersaing dengan Azmarul sebagai penentu ke peringkat akhir, penuntut Universiti Multimedia, Cyberjaya itu tidak yakin dirinya terpilih sebagai peserta akhir.
Apa pun dia bertuah kerana Erra dan Azmeer lebih tertarik dengan corak persembahan vokalnya berbanding Azmarul.
"Saya akan cuba buat yang terbaik kerana inilah kesempatan saya untuk memperpanjangkan impian yang terpendam selama ini," akuinya.
Bagi Azmarul, walaupun gagal ke peringkat akhir namun reda kerana dapat mengetengahkan minat nyanyian.
Katanya, dia akan meneruskan usaha untuk mengembangkan bakat sehinggalah berjaya menghasilkan sebuah single.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: