Thursday, December 22, 2011

Kenangan mengusik jiwa


Antara penyanyi dan kumpulan yang bakal membuat persembahan pada Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh di Istana Budaya Januari tahun depan.


ISTANA Budaya (IB) sememangnya dikenali sebagai salah satu lokasi yang sering mengadakan pelbagai kegiatan seni bagi membantu memartabatkan industri seni hiburan tempatan.

Ia juga menjadi lokasi pilihan penganjur yang mahukan produk mereka dipersembahkan di sebuah panggung yang sentiasa menjadi tumpuan peminat seni dari dalam dan luar negara.

Setelah menjadi gelanggang kepada pelbagai genre konsert dan pementasan teater, kali ini IB bakal menyaksikan satu lagi konsert yang akan mengembalikan nostalgia dan kegemilangan muzik tahun 60-an.

Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh yang dianjurkan oleh Gombak Serumpun Sdn. Bhd. (GSSB) bakal diadakan pada 20 hingga 22 Januari 2012.

Konsert itu bakal mengimbau kembali nostalgia peminat irama muzik 60-an.

Pada malam itu nanti, tujuh penyanyi popular akan membuat persembahan bersama kumpulan masing-masing.

Artis yang akan memeriahkan konsert tersebut terdiri daripada Datuk Jeffri Din, Datuk L.Ramlie, Datuk A. Rahman Hassan, Datin Azizah Muhamad, A.Halim, J. Sham, dan A.Rahman Onn.

Selain itu, kumpulan asal penyanyi tersebut bakal membuat persembahan bersama penyanyi utama mereka pada awal kemunculan iaitu Siglap 5, Orkes Nirwana, D'Fiction, Orkes Teruna Ria, The Wanderers dan juga The Strangers.

Pengarah Urusan GSSB, Ghazali Ismail berkata, ini adalah kali pertama setelah lebih 40 tahun konsert seperti itu diadakan. Kali terakhir ia diadakan ialah di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun 1967.

"Sejak itu, peminat industri seni tempatan tidak lagi dapat menyaksikan konsert seperti ini. Tetapi pada 20 hingga 22 Januari nanti, mereka pasti akan terpesona.

"Pastinya konsert ini akan dapat mengimbau nostalgia dan segala kenangan manis yang dimiliki oleh penggemar muzik pop yeh yeh dari tahun 60-an dahulu.

"Keunikan konsert kali ini pastilah kerana kesemua penyanyi bakal membuat persembahan bersama kumpulan asal pada zaman kegemilangan masing-masing," katanya dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Peminat yang merindui persembahan penyanyi-penyanyi 60-an itu tidak harus melepaskan peluang menyaksikan persembahan mereka di atas pentas yang sama.

Lagi pula semua lagu yang bakal dimainkan adalah lagu-lagu yang sehingga kini masih diminati ramai.

Antaranya yang bakal dipersembahkan pada konsert tersebut adalah lagu Seruling Anak Gembala, Ayahku Kahwin Lagi, Jejaka Idaman, Chenderawasih, Suratku Untukmu, Cincin Emas dan Oh Fatimah disamping pelbagai lagi lagu lain.

Tiket bagi menyaksikan konsert tersebut boleh didapati pada harga RM40hingga RM350.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan tiket tersebut di kaunter tiket IB, melalui laman web www.ticket2u.biz atau telefon ke 03-41478600.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: