KUALA KANGSAR - Penduduk tidak perlu bimbang dengan isu kenaikan bil air secara mendadak, di kawasan ini, kerana Lembaga Air Perak (LAP) kini dalam usaha melaksanakan penyelarasan dan penyusunan semula bacaan meter.
Sehubungan itu, mereka boleh merujuk semula masalah bil air naik secara mendadak kepada pihak LAP untuk mendapatkan kepastian.
Pengguna, Hashim Mamat, 71 dari Sayong Lembah, berkata, sebelum ini notis bayaran bil dihantar dua bulan sekali tetapi yang terbaru pengguna menerima notis bayaran tiga bulan sekali.
Menurutnya, akibat keadaan itu, sesetengah isi rumah menerima notis bayaran berganda jika dibandingkan dengan sebelumnya.
“Saya juga terpaksa membayar bil berganda dan bimbang berlaku kesilapan dari segi kiraan meter air.
“Sebelum ini, saya menerima notis bayaran bil dua bulan sekali dengan jumlah kira-kira RM80 hingga RM90 sahaja namun, bil terbaru yang diterima memaksa saya membayar sehingga RM188.22,” katanya.
Katanya, kebiasaannya bil air tidak meningkat mendadak, dia bimbang berlaku kesilapan sehingga menyusahkan pengguna.
“Saya kemudiannya bertanya terus dan membuat aduan kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan serta disuruh membuat rujukan semula,” katanya.
Sementara itu, Exco Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Ramly Zahari berkata, sekiranya penduduk mempunyai masalah berkaitan bil air yang meningkat secara mendadak, mereka boleh berhubung terus dengan beliau bagi mendapatkan kepastian daripada LAP.
Katanya, LAP kini sedang menjalankan penyelarasan dan penyusunan semula, berkemungkinan berlaku perubahan bacaan meter.
“Penyusunan semula bacaan meter ini kadang-kala boleh menyebabkan kiraan berubah atau tidak tepat.
“Justeru, penduduk yang mempunyai masalah boleh merujuk semula kepada saya atau LAP,” katanya.
Beliau berkata, penyelarasan bayaran bil tiga bulan sekali yang berlaku kini belum ditetapkan lagi dan mungkin akan kembali seperti sedia kala.
Sementara itu, katanya, LAP berperanan menguruskan sistem bekalan air dengan baik dan sehingga kini terdapat 60,000 akuan di seluruh Perak yang perlu diuruskan.
“Bagi membantu golongan kurang berkemampuan, sebanyak 10 peratus bayaran percuma secara automatik diberikan kepada penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan sebagainya.
“Kita juga dalam perancangan memberikan 10 peratus bayaran percuma kepada rumah ibadat tetapi ia masih di peringkat penyelarasan,” katanya.
Friday, December 16, 2011
Tak perlu risau bil mendadak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: