basikal

JOHOR BAHRU - Orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang menyertai Mega Ride Johor 2011 di Bandar Dato Onn, dekat sini, untuk memenangi hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah Perodua Viva, 18 Disember ini.

Program anjuran Kelab Ronda Riadah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Johor Land Berhad ini berlangsung sempena Karnival Hartanah dan Ronda Riadah Mega Ride 2011 bermula 17 hingga 18 Disember ini.

Pengurus Besar Johor Land Berhad, Mohd Razif Ab Rahim berkata, program berskala besar ini pertama kali diadakan di Bandar Dato Onn dan dijangka akan menarik
lebih 10,000 pengunjung.

“Pelbagai acara menarik akan dijalankan antaranya Pameran Hartanah Johor Land Berhad merangkumi hartanah yang sedang dibangunkan di Bandar Dato Onn, Bandar Tiram, Taman Bukit Dahlia di Pasir Gudang serta Taman Damansara Alif,” katanya.

Menurutnya, setiap pengunjung yang mendaftar dan membuat tempahan untuk memiliki rumah akan diberikan cenderahati seterusnya menerima insentif istimewa yang hanya ditawarkan bersempena
karnival yang dianjurkan.

“Program ini adalah satu dari-pada program tanggungjawab sosial korporat Johor Land bagi mempromosi sekali gus memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di samping menanam rasa cinta kepada alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, pengelola program, Hasbullah Noor berkata, karnival yang dijalankan bertujuan melahirkan semangat muhibah dan perpaduan terutamanya dalam membanteras jenayah setempat seterusnya memperkenalkan negeri ini sebagai salah satu destinasi yang unik, menarik dan selamat untuk dikunjungi.

“Antara aktiviti menarik yang akan berlangsung sepanjang karnival adalah lebih 100 acara sukan rakyat, pertandingan Mega Idol, pertandingan Motorcross Funride, Persembahan Skuad Ninja IPD Johor Bahru Selatan, persembahan istimewa daripada artis tempatan, jualan dan pameran dari agensi kerajaan dan swasta selain kejohanan basikal Mega Ride Johor 2011 yang bakal menjadi acara kemuncak karnival,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Ronda Riadah IPD Johor Bahru Selatan berkata, sasaran 5,000 peminat sukan berbasikal tanah air dan luar negara akan menyertai Mega Ride Johor 2011 ini seterusnya mencipta rekod Malaysia sebagai penyertaan peserta berbasikal terbanyak dalam sesebuah kejohanan.

“Pendaftaran masih lagi dibuka dan setiap peserta akan menerima cenderahati serta baju eksklusif secara percuma,” katanya.

Untuk maklumat lanjut karnival, sila hubungi 016-7706577 (Hasbullah), 019-7720762 (Stephen) atau 019-7789770 (Arshata).