kedai emas dirompak

PARIT BUNTAR – Tak sampai lima minit, semua barang kemas yang berada di sebuah kedai emas Jalan Bendahara, di sini, lesap dilarikan tiga perompak bersenjata dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Ali berkata, sebelum itu, dia ada terdengar satu das tembakan dilepaskan selain sempat melihat dua lelaki bertopeng dan bersenjata senapang patah serta pistol.

Menurutnya, seorang lagi ahli kumpulan itu menunggu di kereta dan bersedia untuk melarikan diri.

“Ketika kejadian, tiada pelanggan di dalam kedai ini, hanya pemilik dan anaknya yang sempat melarikan diri sebaik mendengar satu das tembakan.

“Akibat terkejut dan takut, anak pemilik serta beberapa pekerja kedai pakaian berhampiran turut melarikan diri kerana khuatir dicederakan perompak yang melepaskan satu lagi das tembakan sebelum melarikan diri,” katanya.

Katanya, perompak itu dipercayai melarikan diri ke laluan utama, Ipoh - Taiping melalui jalan di Kampung Kedah, Parit Buntar sebelum menghala ke arah Butterworth, Pulau Pinang.

“Salah seorang penduduk yang berada di tempat kejadian sempat mengekori perompak ini yang menaiki sebuah kereta jenid Proton wira dengan nombor pendaftaran PDM 6708,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian rompakan kedai emas terbabit.

Menurutnya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagi memburu penjenayah terbabit.

“Tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemilik premis sempat menyelamatkan diri selepas mendengar das tembakan yang dilepaskan perompak terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes boleh berhubung terus ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.