Sunday, December 4, 2011

Sisa merpati ubat mujarab


JALAN AL-MISFALAH ini merupakan dataran merpati terbesar dan ia terletak 250 meter dari Masjidil Haram.


SEBAIK sahaja gelap kota Mekah hilang diterangi sinar mentari, ratusan kawanan merpati mula berterbangan di sekitar kawasan Masjidil Haram.

Di beberapa sudut jalan menuju ke Al-Misfalah, terdapat beberapa jemaah dari Asia Selatan asyik menabur bijirin menjamu kumpulan burung yang jinak itu.

Bukan sukar untuk mendapatkan makanan burung kerana terdapat banyak kedai dan penjaja bergerak yang menjual dedak, kekacang, sekoi serta barli terutamanya di sekitar jalan Al-Hafair, Ghazah dan Al-Misfalah dengan harga SR1 (85 sen) sebungkus.

Di sudut yang sama, ada pula jemaah lelaki dan perempuan kebanyakannya dari Pakistan yang tekun menguis-nguis taburan bijirin yang baru saja terhampar di atas jalan tar.

Tujuh biji

“Kami percaya, makanan merpati ini boleh mengubati beberapa jenis penyakit terutamanya untuk merawat masalah kesuburan,” ujar wanita berketurunan Pakistan, Hasina.

Ketika disapa penulis, Hasina yang sudah lama menetap di Britain memberitahu, dia mengetahui tentang kemujaraban makanan merpati daripada saudara-maranya yang pernah berkunjung ke Mekah.

“Hanya bijirin yang belum pecah dan masih berkulit dipilih untuk dijadikan penawar,” katanya yang tekun memilih bijirin untuk adiknya.

Menurut Hasina, adiknya sudah enam tahun berkahwin tetapi belum dikurniakan zuriat.

Tambahnya lagi, sebanyak tujuh biji bijirin perlu dikutip dan ia perlu dimakan tanpa dimasak setiap hari selama tujuh hari.

Walaupun belum ada penemuan perubatan yang sahih mengesahkan makanan merpati mampu menyembuhkan penyakit, jumlah jemaah yang mengutip makanan merpati di atas jalan sekitar Masjidil Haram ini tidak pernah berkurangan.

Seorang jemaah Mesir yang ditemui, Ismail Ahmad berkata, dia turut mengutip makanan merpati sebagai usaha menyembuhkan isterinya yang menghidap sawan.

Apabila keadaan isterinya semakin teruk, seorang rakannya menasihatinya supaya pergi mengerjakan umrah ke Mekah dan mengutip makanan burung untuk diberikan kepada isterinya.

“Kawan saya kata isteri saya perlu makan tiga biji bijirin yang masih berkulit ini sebanyak tiga kali sehari selama tiga hari berturut-turut.

“Namun, selepas dua minggu, isteri saya masih belum pulih,” katanya.


WARGA Pakistan adalah jemaah yang paling ramai mengutip bijirin makanan merpati di Mekah.


Merugikan

Selain mengambil bijirin makanan merpati, ada juga sejumlah jemaah yang sanggup naik ke Gua Hira, tempat Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama dan Jabal Rahmah di Arafah, lokasi pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawa selepas 40 tahun terpisah untuk mengutip batu-batu di sana.

Kebanyakannya mempercayai batu-batu tersebut dapat memberkati kehidupan mereka dan keluarga mereka.

Mengulas senario yang banyak berlaku terutamanya pada musim haji, Pengarah Pusat Pengajian Islam, Universiti Ummul Qurah, Muhammad Al-Suhali, menjelaskan, hanya umat lslam yang lemah iman dan kurang pengetahuan tentang Islam yang akan percaya tentang kemujaraban makanan merpati dan berkat batu yang diambil di Mekah.

Kenyataan Muhammad yang diterbitkan akhbar The Arab News menjelaskan, mempercayai wujudnya kuasa lain yang boleh menyembuhkan dan memberi keberkatan selain Allah adalah bertentangan dengan syariah Islam.

Ia juga perbuatan yang merugikan apatah lagi jika ia dilakukan oleh jemaah yang datang untuk mengerjakan ibadah haji.

“Di dalam hadis, Nabi Muhammad SAW ada menyatakan, barang-barang yang dijumpai di Mekah baik wang, makanan atau lain-lain, tidak boleh diambil dan digunakan.

“Sebaiknya, kedatangan jemaah ke Tanah Suci dimanfaatkan dengan bersembahyang dan berdoa di Masjidil Haram.

“Mintalah kepada Allah jika kita berada dalam keadaan yang sukar. Itu cara yang betul. Jangan sekali-kali bergantung kepada perkara lain seperti makanan haiwan untuk mengubati penyakit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: