Sunday, December 4, 2011

Kafe empat musim


PINTU gerbang seakan-akan dibalut daun-daun plastik seakan-akan mempelawa pelanggan memasuki kafe.


SEKILAS pandang, ramai akan teruja dan terpesona melihat keindahan restoran ini. Ciri eksklusif itu pasti membuatkan ramai bertanggapan bahawa makanan yang dihidangkan pasti mahal-mahal belaka.

Itu pandangan pertama penulis sebelum memasuki dan merasai sendiri makanan serta minuman yang terdapat di kafe Little White Cafe yang terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Sebenarnya, bukan ingin bersikap skeptikal namun hiasan di bahagian luarnya sahaja cukup mewah seakan-akan pelanggan berada di taman bunga di Belanda atau Switzerland!

Selain itu, mungkin ramai yang memikirkan Little White Cafe milik pelabur asing.

Hakikatnya, pemilik kafe itu ialah wanita tempatan, Faizah Zainal Abidin.

“Sebenarnya, harga makanan dan minuman yang terdapat di kafe ini berpatutan. Ini kerana, kafe ini dihias menarik untuk membuatkan pelanggan berasa seperti berada di kafe luar negara.

“Little White Cafe turut menonjolkan konsep ‘fine dining’ yang mementingkan lokasi strategik, kelazatan hidangan selain penampilan luaran dan dalaman,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.

Hidangan eksklusif

Faizah menjelaskan, konsep ‘fine dining’ yang diterapkan di restorannya digambarkan dengan hiasan luar dan dalaman kafenya.

Realitinya, sebelum memasuki kafe, pelanggan bagaikan disapa dengan binaan pintu gerbang berbentuk empat segi seperti kubah masjid.


PEKERJA restoran tekun menyiapkan menu makanan yang dipesan pelanggan.


Malah, pintu gerbang itu juga dibalut dengan bunga-bunga kertas. Pagar besi di bahagian kiri dan kanan pintu gerbang membuatkan bahagian luar kafe seakan-akan taman bunga.

Bukan itu sahaja yang Faizah menggamit pelanggan untuk datang tetapi juga rekaan kayu berbentuk empat segi yang dicat berwarna hitam.

Kayu itu ditempa menu istimewa kafe yang turut digelar kafe empat musim ini.

Ciri-ciri unik lain di bahagian luar kafe ini termasuk lampu-lampu neon klasik yang digantung sekali gus menggambarkan ciri-ciri tradisional seperti rumah lama.

Faizah juga bereksperimen dengan reka bentuk kontemporari dan tradisi dengan menggunakan pintu dan tingkap jenis logam ‘magnesium board’ yang lebih ampuh berbanding kayu.

Menurut Faizah, beliau sengaja mengecat pintu dan tingkap dengan rona hijau kerana ingin menekankan ciri-ciri alam semula jadi serta tumbuh-tumbuhan.

“Terdapat pelanggan yang memasuki kafe ini terasa bagaikan dipeluk dengan kasih sayang kerana hiasannya,” kata Faizah tersenyum.


CUKUP tenang apabila membaca surat khabar di kafe ini.


Cerita wanita berusia 40 tahun ini tidak berhenti begitu sahaja.

Tombol pintu masuk juga cukup unik kerana bercorak bunga serta alam semula jadi.

Faizah memberitahu, beliau cenderung memilih warna putih sebagai kemasan kafenya kerana warna itu membuatkan premisnya kelihatan lebih besar dan selesa walaupun ruangannya agak terhad.

“Warna putih sesuai dipadankan dengan warna-warna lain seperti warna hijau dan kuning,” katanya.

Lukisan

Bahagian dalaman Little White Cafe turut menyajikan susun atur dan rekaan yang pasti menggoda pelanggan.

Selain kaunter penyediaan minuman dan makanan yang terletak di bahagian hadapan kafe, terdapat beberapa lukisan karya pelukis bernama D Wolf digantung kemas di dinding kafe.

Lukisan-lukisan tersebut digantung rapi serta tersusun seakan-akan ia bercerita mengenai aktiviti nelayan di lautan, suasana pantai serta gambar matahari terbenam.

Teruja untuk membeli, usah khuatir kesemua lukisan itu bukan perhiasan semata-mata tetapi untuk dijual.

Selain lukisan-lukisan potret itu terdapat rak-rak di bahagian dinding kafe yang dihiasi pinggan mangkuk sama seperti untuk dihidangkan kepada pelanggan selain bahan makanan dan minuman yang disaji kepada pelanggan.

Antaranya tin minuman bergas, serbuk kopi dan teh, botol sos cili dan tomato.

Selain itu, tarikan lain seperti novel-novel Inggeris serta televisyen bersaiz kecil.

Faizah turut memasang cermin di bahagian dinding sebagai satu langkah bijak untuk membuatkan ruang kafe seakan-akan lebih luas.

Tarikan kafe wanita yang mempunyai lima orang anak ini masih belum berakhir.

Beliau turut menyediakan menu makanan serta dekorasi kafe yang berbeza mengikut empat musim iaitu musim bunga, luruh, panas dan juga salji.

Ujarnya, jika pada musim sejuk bahagian tingkap akan disembur dengan semburan khas seakan-akan musim salji sedang berlaku di negara ini.

“Selain itu, saya juga akan menggunakan kipas yang mengeluarkan cecair seperti salji . “Makanan yang dihidangkan juga berbeza iaitu ayam belanda serta sos beri yang lazat.

“Jangan khuatir kerana tiada arak digunakan selain tiada pokok hiasan seperti perayaan Krismas,” katanya.

Jika pada musim bunga pula, lebih banyak bunga-bunga tiruan akan menghiasi kafe.

Pada musim luruh kafe akan dihias dengan bunga-bunga hiasan dan daun-daun plastik di bahagian lantai kafe.


RUANG dalaman kafe yang ringkas namun mementingkan keselesaan pelanggan.


“Apabila musim panas tiba, kami akan memperkenalkan menu ayam dan daging yang dibakar dengan menggunakan arang batu,” katanya.

Susunan meja kafe juga diatur dengan kemas dan lebih berbentuk santai.

“Pelanggan boleh memilih meja untuk dua orang, empat orang, enam orang atau 11 orang yang kebiasaan digunakan oleh keluarga.

“Pelanggan juga boleh memilih untuk duduk di kerusi kayu atau sofa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: